fbpx

GAIA sampaikan anugerah hijau kepada 22 agensi Wilayah Iskandar dalam tempoh 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raven Kumar menyampaikan anugerah Special Mention Award kepada Columbia Asia Hospital (Tebrau) sempena Majlis Anugerah GAIA, semalam.

JOHOR BAHRU – Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) melalui ‘Green Accord Initiative Award’ (GAIA) telah menyampaikan 22 anugerah kepada agensi yang beroperasi di Wilayah Iskandar, di sini dalam tempoh lima tahun.

Anugerah tertinggi bagi kategori Hartanah Individu, Perbandaran dan Industri GAIA diserah kepada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Sunway Iskandar dan Kerry Ingredients (M) Sdn. Bhd. Menerusi penerapan elemen kemampanan dalam produk dihasilkan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, kerajaan negeri menyokong inisiatif GAIA yang bertujuan untuk menerap elemen hijau dalam mewujudkan masyarakat rendah karbon.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada IRDA, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta atas sokongan dan penyertaan dalam program GAIA serta usaha menghijaukan Johor dan mewujudkan masyarakat rendah karbon.

“Kerajaan negeri bangga mengetahui bahawa sebanyak 22 anugerah GAIA telah dianugerahkan di Iskandar Malaysia dalam tempoh 5 tahun, termasuk 7 penerima GAIA baharu pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Hotel Opero, di sini semalam.

Sementara itu, GAIA 2021/2022 turut menyaksikan empat penerima Anugerah Penghargaan iaitu kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Hospital Columbia Asia (Tebrau), untuk kategori Hartanah Individu, manakala Sunway Grid dan Frontier Park pula menerima anugerah bagi kategori Komersial dan Perbandaran Industri.

Turut disenarai pendek ialah Bangunan Direktorat Penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Cam Plus (Johor) Sdn. Bhd. yang menerima anugerah ‘Value Participant’ GAIA 2021/2022.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, pihaknya gembira melihat usaha kolaboratif ke arah mencapai visi Iskandar Malaysia untuk menjadi metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan.

“Inisiatif hijau ini amat penting, lebih lagi apabila kita memasuki fasa pasca pandemik, di mana Iskandar Malaysia menyasar untuk mewujudkan ekosistem berdaya tahan untuk menyokong fasa pemulihan serta menghadapi cabaran masa hadapan.

Buat pertama kalinya, GAIA telah memperkenal pendekatan penilaian kendiri melalui penggunaan templat ‘Comprehensive Assessment System for Built Environment Efficiency’ (CASBEE).

Melalui kaedah penilaian kendiri ini, peserta akan lebih memahami setiap aspek penilaian dan boleh mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang jurang atau kekurangan di dalam usaha hijau mereka.

Ini sekaligus membolehkan mereka mengenal pasti langkah dan strategi penambahbaikan untuk melaksanakan inisiatif alam sekitar yang lebih komprehensif.

GAIA dianugerahkan kepada penerima daripada pelbagai pihak industri, komersial, perbandaran dan hartanah individu yang layak diiktiraf berdasarkan usaha pemuliharaan alam sekitar yang telah mereka laksanakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI