fbpx

Drebar lori dikompaun guna telefon bimbit ketika memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang daripada 13 pemandu lori yang dikompaun ketika pemeriksaan oleh Unit Operasi JPJ Pulau Pinang di sekitar Seberang Jaya, kelmarin.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 13 kompaun telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam satu operasi penguatkuasaan melibatkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu di sekitar Seberang Jaya di sini, bermula kelmarin.

Menurut JPJ negeri, operasi yang dijalankan selama dua hari berturut-turut itu secara umumnya menyasarkan pemandu-pemandu kenderaan perdagangan khususnya lori.

“Penguatkuasaan itu dibuat secara berfokus iaitu terhadap kesalahan di bawah Subkaedah 17 A(1) Kaedah-kaedah Lalu-lintas Jalan 1959, iaitu penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

“Kesalahan ini boleh dikompaun sebanyak RM 300 dan pemberian mata demerit juga boleh dilaksanakan dalam sistem Kejara (Kesalahan Jalan Raya),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, penggunaan telefon bimbit semasa memandu seperti menjawab panggilan, melayari aplikasi whatsApp, laman Facebook dan sebagainya merupakan satu budaya dan amalan yang tidak baik dalam kalangan pemandu masa kini.

“Sikap sedemikian boleh menyebabkan pemandu hilang fokus pemanduan di jalan raya selain berbahaya kepada pemandu itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Pada masa yang sama, amalan sebegini khususnya dalam kalangan segelintir pemandu kenderaan perdagangan juga boleh mengundang risiko kemalangan disebabkan kelekaan, serta memperlahankan masa tindakbalas semasa pemanduan,” katanya.

Jelas JPJ negeri, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga mendapati bahawa pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu boleh menyebabkan kenderaan tersasar dari lorong, terlepas simpang, melanggar pejalan kaki dan melanggar lampu merah.

Sehubungan itu katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang ketika memandu untuk mengelakkan dari dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Selain itu, pematuhan berkenaan dapat mengurangkan risiko kemalangan disebabkan kecuaian.

“Jadi, memandulah dengan berhemah dan bertimbang rasa supaya pemanduan selamat sampai ke destinasi yang ditujui,” kata kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI