fbpx
FAUZIAH AHMAD DAUD

Jangan sesekali lacurkan seni – Fauziah Ahmad Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEWARNA kanvas seni sejak empat dekad lalu, meletakkan pelakon berkaliber, Fauziah Ahmad Daud dalam satu kelas yang tiada tolok bandingnya.

Kemunculannya dalam mana-mana drama mahupun filem sentiasa dinanti-nanti peminat sehingga hari ini.

Pernah dicemuh dan dikritik, dia kekal dalam liganya sendiri, itulah wanita yang mesra disapa sebagai Ogy.

Sebagai pelakon ikonik bahkan bertaraf legenda, Ogy sentiasa dahagakan kehadiran bakat baru untuk menyambung legasi anak seni sedia ada.

Meskipun mengalu-alukan kehadiran tersebut, aktres berusia 60 tahun itu enggan melihat pelakon generasi muda melacurkan industri seni dengan hasil kerja yang rendah kualiti.

“Sebagai pelakon lama, sebenarnya saya suka melihat kehadiran pelakon baharu.

“Untuk terus kekal dalam industri yang penuh sepak terajang ini, mereka harus serius dengan setiap perkara dilakukan dalam bidang ini. Jangan sesekali melacurkan seni,” katanya kepada Pose baru-baru ini.

Memanjangkan lagi perbualan, dia yang terkenal menerusi filem Ali Setan itu berpandangan segelintir pelakon generasi muda sekadar berlakon tetapi tidak mempunyai jiwa.

“Pelakon sekarang suka lontar sahaja dialog dan mereka tidak faham pun apa yang hendak disampaikan.

“Sebagai aktor, setiap naskhah atau watak perlu digali dan dikaji berulang kali.

“Barulah timbul kejujuran dalam lakonan sekaligus memberi roh untuk setiap watak yang dipersembahkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia juga mengakui semakin selektif dalam menerima sebarang watak yang ditawarkan.

Katanya, memegang watak sama berulang kali boleh membuatkan jiwanya lemau.

“Saya tidak mahu watak emak atau nenek dipersembahkan dengan cara sama, lemau jadinya. Saya tak suka benda klise.

“Di sinilah boleh membuktikan dan mencabar kemampuan seorang pelakon.

“Apakah cara yang hendak dilakukan untuk memasuki ruang watak dan merangsang si pelakon melihat karakter daripada perspektif berbeza. Ini pandangan saya,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun namanya sudah cukup kukuh, dia masih seorang pelakon yang tidak pernah berhenti mencari ilmu bagi memantapkan lakonan sedia ada.

“Meskipun sudah berpuluh tahun bekerja dalam industri, saya masih mencari ruang untuk melebarkan kerjaya dan menjadi lebih matang hari demi hari.

“Ini amat penting bagi saya. Saya tak suka satu stail lakonan yang sama.

“Pernah disuarakan kepada pengarah bahawa ‘small detailing’ (benda-benda kecil) amat penting untuk cetuskan magis dalam lakonan,” kongsinya panjang lebar.

POPULAR