fbpx

Mahkamah: Bekas pengurus bank diperintah periksa psikiatri sebelum didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang bekas pengurus bank diperintah jalani periksa psikiatri sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Selangor hari ini. FOTO ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Seorang bekas pengurus bank diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri oleh Mahkamah Majistret hari ini sebelum didakwa atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.

Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam tertuduh lelaki berusia 59 tahun itu.

Terdahulu, peguam Dennis Micheal Pereira memohon kebenaran mahkamah bagi anak guamnya menjalani pemeriksaan di hospital psikiatri.

“Berdasarkan apa yang diperoleh, anak guam kami itu memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental.

“Berikutan itu, tidak boleh sebarang pengakuan direkodkan dan perlu mendapat pengesahan daripada hospital psikiatri terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, permohonan itu dilakukan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkilfi yang mengendalikan kes tidak mempunyai bantahan mengenai permohonan pembelaan itu.

Amirul Asyraf kemudian menetapkan 6 Disember depan bagi sebutan pendakwaan ke atas tertuduh.

Lelaki itu sepatutnya dihadapkan ke dua mahkamah berasingan hari ini atas empat pertuduhan melibatkan kerugian mencecah RM164,000 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaaan.

Kosmo Online! semalam melaporkan kegiatan licik seorang pengurus bank disyaki memperdaya pelanggannya untuk menyertai satu skim pelaburan terbongkar apabila dicekup polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI