fbpx

Terkurung punca pelajar universiti alami gangguan mental semasa pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaharum (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang majikan pada Sambutan Hari Kesihatan Mental 2022 Peringkat Negeri Kelantan di HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini .-Foto oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Masalah gangguan mental yang dialami oleh golongan pelajar universiti sepanjang pandemik Covid-19 selama dua tahun lalu berpunca daripada tekanan ekoran kaedah pembelajaran secara dalam talian sehingga menyebabkan mereka terkurung.

Ketua Jabatan Psikiatri Pusat Pengajian Sains Perubatan Hospital Univeristi Sains Malaysia (HUSM), Profesor Madya Dr. Mohd. Azhar Mohd. Yasin berkata, maklumat tersebut diperoleh berdasarkan kepada statistik golongan berkenaan yang mendapatkan rawatan awal psikologi melalui perkhidmatan Talian Sokongan Psikososial Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021.

Menurutnya, selain golongan pelajar universiti, masalah gangguan mental turut dialami orang dewasa dalam kalangan lelaki dan wanita yang berpunca daripada tekanan kewangan.

“Berdasarkan maklumat, seramai 2,482 golongen dewasa telah mendapat rawatan sokongan daripada perkhidmatan talian yang disediakan. Kita tidak menafikan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai yang mengalami masalah mental.

“Kita dapat mengesan individu (alami masalah tekanan mental) ini menerusi talian hotline yang beroperasi selama 24 jam. Selain itu ada juga dalam kalangan individu yang datang bersemuka bagi mendapatkan rawatan,” katanya pada sidang akhbar Sambutan Hari Kesihatan Mental 2022 Peringkat Negeri Kelantan di HUSM, Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azhar berkata, individu yang mengalami masalah mental akan diberi rawatan dan pemulihan sebaik mungkin, namun semua itu bergantung kepada pesakit.

“Individu yang menghadapi masalah mental akan diberi ubat-ubatan dan pihak hospital akan memantau dari semasa ke semasa.

“Jika golongan pesakit mental diberi peluang, mereka akan menyumbang kepada perkembangan diri dan masyarakat seperti orang lain,” ujarnya.

Tambahnya, HUSM turut memberi bantuan sewajarnya menerusi Pusat Inkubator Rehabilitasi Psikiatri dengan menyediakan platform latihan kemahiran secara praktikal bagi melatih pesakit mental mendapat latihan asas vokasional. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI