fbpx
NOR ASIKIN (tengah) sayu melihat gambar anak dan cucunya yang maut dalam kemalangan ketika ditemui di rumah mereka di Gurun, Kedah semalam.

‘Kami tidak sempat makan strawberi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang ibu tidak me­nyangka mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar anak­nya menjadi perbualan terakhir mereka sebelum wanita itu maut dalam nahas di Kilometer 34, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu mengorbankan Nor Syahira Mohd. Fadhail, 23, dan bayi lelakinya, Muhammad Rayyan Naufal Amyroul Shah Huszaiery yang berusia tiga bulan.

Suami Nor Syahira, Amyroul Shah Huszaiery Yusri, 23, pula mengalami cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Menurut Nor Asikin Ahmad, 50, berita nahas itu ketahui sekitar pukul 1.30 tengah hari setelah melihat gambar kemalangan dan kad pengenalan anak pe­rempuannya melalui kumpulan Whats­App taman perumahan.

“Anak saya yang mesra dipanggil Ira dan suaminya ke Ipoh sejak Ahad lalu sebelum mereka pergi ke Cameron Highlands. Saya dan Ira ada berbalas mesej dan dia sempat beritahu ada belikan saya jagung dan buah strawberi.

“Sebelum menamatkan perbualan, Ira ada maklumkan yang mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang memandangkan suaminya bekerja pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HRPB di sini semalam.

NOR SYAHIRA bersama suaminya, Amyroul dan bayi sulung mereka yang berusia tiga bulan.

Nor Asikin berkata, anak ke­dua daripada empat beradik itu tinggal bersamanya di Taman Jerai Indah Emas, Gurun, Kedah sejak tahun lalu selepas mengalami alahan teruk sepanjang hamil anak sulung.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu ialah pada pagi Ahad lalu yang mana arwah sempat menyediakan hidangan tengah hari untuknya.

“Ira ada hantar video anaknya dalam kumpulan WhatsApp. Video cucu saya gelak, senyum tapi rasa sedih kini dia sudah ‘pergi’.

“Amat terasa kehilangan mereka berdua kerana Ira berpantang di rumah, saya menjaga mereka. Apa pun saya kena reda dengan takdir ini,” katanya.

Tambahnya, jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Badak, Gurun.

Berita berkaitan: Wanita, bayi lelaki tiga bulan maut nahas dua kereta

Mengulas lanjut, Nor Asikin mengakui agak terkilan apabila hajatnya bersama suami, Mohd Fadhail Awang, 53, untuk menyediakan sup daging dan tulang yang merupakan makanan ke­gemaran Nor Syahira.

“Saya mula bersiap-siap menyediakan bahan masakan selepas anak (Nor Syahira) beritahu dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Gurun di sini dari Cameron Highlands.

“Ira memang suka sup dan kami sangat teruja untuk memasak menu tersebut. Tambahan pula, dua adiknya turut berada di rumah menanti kepulangan mereka.

“Kami juga menunggu untuk menikmati buah strawberi yang dipesan dari tanah tinggi itu,” katanya.

AHLI keluarga melakukan solat jenazah dua beranak di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh semalam sebelum dikebumikan di kampung halaman arwah di Gurun, Kedah.

Sementara itu, Mohd. Fadhail berkata, kali akhir dia bertemu anak, menantu dan cucu sulungnya ialah pada petang Ahad lalu semasa bertugas sebagai pengawal di Pusat Jualan Kereta di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Ketika itu, anak dan menantu dalam perjalanan ke Ipoh melawat kenalan dan mereka sempat singgah untuk bertemu saya.

“Ira bagaimanapun berkelakukan agak pelik pada petang itu apabila berseloroh mengatakan mereka sekeluarga tidak akan balik ke rumah.

“Saya kemudian menegurnya agar tidak bercakap sedemikian, sebelum dia mengatakan yang mereka tidak balik kerana akan tidur di Ipoh,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN