fbpx

Berakhirnya kisah duka politik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARLIMEN penggal ke-14 menyaksikan tiga Perdana Menteri memimpin negara.

PUTRAJAYA – Parlimen penggal ke-14 yang melakar pelbagai kisah duka dalam landskap politik negara akhirnya menemui titik noktah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Perdana Menteri berkata, pembubaran itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah menyembah warkah permintaan mengenai pembubaran berkenaan.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah bertindak menurut budi bicara de­ngan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini (semalam).

“Saya mengesyorkan Ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh sama dengan PRU peringkat Parlimen meskipun beberapa negeri memutuskan untuk tidak membubarkannya,” katanya ketika berucap pada perutusan khas di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Ismail Sabri membuat pengumuman itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Beliau berkata, PRU-15 wajar dilaksanakan serentak di seluruh negara bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

“Sementara itu, penetapan tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jadi, dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat kerana ia penawar ampuh bagi negara untuk menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU-15,” jelasnya.

ISMAIL SABRI ketika mengumumkan pembubaran Parlimen pada perutusan khas Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Perdana Menteri menambah, proses berkenaan dilaksanakan berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak peme­rintahan sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Pembubaran itu dilaksanakan bagi menoktahkan suara- suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, Parlimen Penggal Ke-14 telah melakarkan warna suram kepada landskap politik negara.

“Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama.

“Ini memberi dampak memburuk terhadap sosio-politiko-ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia kerana menyokong beliau menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Kerajaan.

“Betapa besar amanah dan tanggungjawab yang dipikul, besar jugalah usaha dan ikhtiar yang digalas. Pada waktu itu, negara diselubungi Covid-19 yang mengganas ditambah pula de­ngan kelesuan ekonomi serta politik bergelora.

“Meskipun acapkali diasak pelbagai cabaran, tohmahan serta fitnah, namun alhamdulillah, kerajaan andal menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan membawa negara ke landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi demi memulihkan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan pimpinannya turut bertanggungjawab dan sentiasa membuat perancangan teliti dalam semua perihal se­perti meletakkan kepentingan Keluarga Malaysia ketika negara berdepan krisis kesihatan.

“Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan seluruh Keluarga Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan ampuh dalam membantu kerajaan membendung penularan Covid-19.

“Di atas kejayaan itu, Malaysia melangkah memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April 2022 yang membolehkan pembukaan semula sempadan negara selepas lebih dua tahun ditutup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI