fbpx

Kelayakan Piala Asia: Skuad B-17 negara ‘ratah’ Sang Garuda 5-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain muda negara mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menewaskan Indonesia 5-1 di tempat lawan. - IHSAN FAM

PETALING JAYA – Skuad bawah 17 (B-17) negara mempamerkan aksi ‘lima bintang’ dengan menewaskan tuan rumah, Indonesia 5-1 pada aksi terakhir Kumpulan B saingan kelayakan Piala Asia B-17 2023 sebentar tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad muda Harimau Malaya menempah slot ke pusingan akhir berbekalkan status selaku juara Kumpulan B selepas mengutip 10 mata daripada empat perlawanan.

Pada aksi di Stadium Pakansari, Bogor itu, skuad kendalian Osmera Omaro berada di depan seawal minit ke-17 hasil jaringan Zainurhakimi Zain.

Berselang tiga minit kemudian, skuad negara menggandakan kelebihan hasil ledakan sempurna daripada Arami Wafiy sebelum memperolehi gol ketiga menerusi Anjasmirza pada minit ke-23.

Pemain negara, Afiq Danish turut mencetak nama selaku penjaring gol keempat buat pasukan pada minit ke-26 disusuli gol kedua peribadi Arami Wafiy pada minit ke-38 hasil sepakan penalti.

Bersambung pada babak kedua, skuad negara dilihat mengendurkan sedikit serangan dengan pasukan Sang Garuda menguasai sebahagian besar perlawanan.

Gol saguhati yang dicari pasukan tuan rumah akhirnya tiba hasil ledakan Arkhan Kaka Putra pada minit ke-93 dengan keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan skuad muda negara mara ke kelompok 16 pasukan remaja Asia menyaksikan mereka mengikuti jejak langkah pasukan senior Harimau Malaya yang turut bersaing pada pentas Piala Asia 2023 tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI