fbpx

Jika bini mahu kereta baharu, lupakan sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Jumaat lalu, Bajet 2023 selesai dibentangkan dengan peruntukan RM372.3 bilion. Seperti biasa, peruntukan bajet pasti akan bertambah setiap tahun.

Seperti biasa juga, ada rakyat yang berpuas hati, ada yang tak kisah dan ada yang kecewa kerana mendakwa tidak menerima manfaat daripada bajet tersebut.

Ada juga yang menganggap bajet kali ini adalah ‘gula-gula’ untuk memikat hati rakyat memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan tahun ini. Malah, desas-desus pembubaran Parlimen sangat kencang ketika ini dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Apapun tanggapan rakyat, kerajaan telah selesai membentangkan Bajet 2023 yang antaranya bertanggungjawab membina masa depan yang cerah buat anak-anak generasi legasi selain mendepani setiap cabaran global yang mendatang.

Cuma kita sebagai rakyat sendiri sama ada sudah bersedia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi yang dijangka pada tahun depan seperti diramal Bank Dunia.

Ketika ini pun, rakyat sudah terkesan dengan kenaikan harga barang, ditambah lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali ketiga.

Kita sekarang hanya tinggal tiga bulan lagi sebelum memasuki tahun 2023. Jika benar berlaku kemelesetan ekonomi yang teruk pada tahun depan, adakah kita sudah bersedia menempuh gelombang kegawatan ekonomi global?

Berapakah bajet untuk isteri, anak-anak dan perbelanjaan keluarga pada tahun depan? Adakah bajet akan bertambah, kekal atau berkurangan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa?

Bagi golongan T20 mungkin bajet boleh bertambah, namun kumpulan M40 yang tinggal di bandar-bandar besar dan B40, peruntukan sewajarnya dikurangkan dan memanfaatkan sebaiknya bantuan kerajaan.

Kalau selama ini sering berbelanja sakan membeli barang-barang yang bukan keperluan tetapi sekadar memenuhi kehendak nafsu, mungkin tahun depan tabiat ini patut dikurangkan atau dihentikan seketika.

Utamakan barang-barang keperluan yang penting dan lebihan duit itu boleh dijadikan sebagai simpanan kecemasan. Setiap orang perlu mempunyai dana kecemasan antara tiga hingga enam bulan gaji.

Jika isteri misalnya ‘mengidam’ kereta baharu pada tahun depan, minta lupakan seketika hasrat itu. Elakkan membuat hutang jahat, sebaliknya selesaikan segera hutang lama. Kalau sering makan hidangan
‘sedap-sedap’ di luar, tahun depan cuba kurangkan.

Di samping berjimat-cermat, pelbagaikan sumber pendapatan. Antaranya melakukan dua pekerjaan atau menceburi pelbagai perniagaan termasuk secara online. Langkah ini juga mampu menyelamatkan kita seandainya dibuang kerja atau syarikat ditutup.

Selain terus berusaha dan berjuang untuk terus hidup, selebihnya kita hanya mampu berdoa agar ‘bencana’ kemelesetan ekonomi tidak berlaku pada tahun depan atau impaknya rendah kepada negara kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI