fbpx

K2

Khabar gembira buat warga pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERAJAAN bersetuju membina tujuh buah sekolah baharu pada tahun ini bagi mengurangkan kesesakan murid di sekolah sedia ada. – Gambar hiasan

SEPERTI yang dijangkakan, pembentangan bajet 2023 telah memberikan penekanan kepada dua aspek utama iaitu memulihkan dan memapankan pendidikan negara.

Butiran belanjawan untuk sektor pendidikan merupakan satu khabar gembira kepada seluruh warga pendidikan khususnya guru-guru dan ibu bapa.

Berpegang kepada prinsip Malaysia Madani, manfaat terbesar daripada belanjawan berjumlah RM55.2 bilion untuk sektor pendidikan itu tertumpu kepada usaha meningkatkan kemudahan pembelajaran murid.

Jika kita teliti, sebanyak RM2.3 bilion telah diperuntukkan secara khusus bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di semua sekolah seluruh negara.

Daripada jumlah itu, RM920 juta dikhususkan untuk menaik taraf segera bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.

Sementara RM900 juta lagi telah diperuntukkan untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan di semua sekolah.

Misalnya, bagi kerja pembaikan tandas, pendawaian elektrik, sistem saliran sekolah serta menggantikan kerusi meja dan peralatan di bilik darjah serta perabot asrama yang telah uzur.

Dicadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat menggunakan sebahagian kecil daripada peruntukan itu untuk menyediakan perabot untuk kemudahan di bilik guru.

Jelas sekali, Bajet 2023 memberi fokus kepada usaha pemulihan pendidikan dalam konteks penyediaan infrastruktur lebih berkualiti dan baharu untuk keselesaan murid serta guru.

Inilah antara perkara utama yang sebenarnya sering diketengahkan oleh warga pendidik sejak sekian lama.

Malah, satu berita gembira apabila kerajaan bersetuju membina tujuh buah lagi sekolah baharu dalam Bajet 2023 untuk mengurangkan kesesakan murid di sekolah sedia ada.

Selain itu, Bajet 2023 memberi fokus bagi menyediakan kemudahan mesra orang kelainan upaya (OKU) kepada murid yang berkeperluan khas.

Ia bagi memastikan golongan OKU dapat belajar dan melakukan aktiviti dengan lebih selesa di sekolah.

KERAJAAN telah memperuntukkan sebanyak RM55.2 bilion untuk sektor pendidikan dalam Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini.
– Gambar hiasan

Menyedari pentingnya pemakanan yang sihat dan seimbang di awal usia kanak-kanak, kerajaan telah bersetuju meningkatkan peruntukan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada RM777 juta.

Peruntukan itu akan memanfaatkan 700,000 murid yang memerlukan.

Selain itu, kerajaan telah bersetuju meningkatkan peruntukan makanan untuk kanak-kanak prasekolah KPM kepada RM108 juta pada tahun ini.

Ia akan memberi manfaat kepada lebih 240 ribu orang kanak-kanak prasekolah KPM.

Bagi mencapai matlamat pendidikan yang mapan pula, kerajaan bersetuju menyediakan 50 ribu buah komputer riba kepada semua sekolah di seluruh negara.

Tentu sahaja penyediaan komputer riba ini akan membantu proses pengajaran guru yang menekankan elemen pembelajaran dan pengajaran (PdP) berasaskan pendigitalan pendidikan.

Malah, bagi meningkatkan fungsi sekolah sebagai tempat murid meraih pengalaman pembelajaran, kerajaan telah bersetuju membina dewan terbuka di sekolah-sekolah.

Dewan ini bagi keselesaan murid-murid berhimpun dan berkumpul serta melakukan pelbagai aktiviti pembelajaran serta kokurikulum di luar bilik darjah.

Bajet 2023 untuk sektor pendidikan tidak lagi menyediakan peruntukan untuk projek khas bersifat ‘tempelan’ seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Misalnya, sistem pendidikan kita pernah mempunyai projek atau program khas seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), Program Literasi dan Numerasi dan sebagainya.

Projek atau program ini diberikan peruntukan khas dalam peruntukan pendidikan.

Sebaliknya, Bajet 2023 di bawah kerajaan perpaduan ini dilihat lebih memberi fokus kepada pemulihan keciciran pembelajaran dengan menyelesaikan isu sekolah-sekolah daif.

Seterusnya, peruntukan bajet kali ini juga tertumpu kepada usaha-usaha bagi meningkatkan pendidikan yang mapan.

Usaha ini dapat dijayakan melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran yang lebih baik untuk keselesaan murid-murid belajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI