fbpx

Belanjawan 2024: Mindef mulakan proses perolehan aset baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.

PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memulakan proses perolehan aset baharu bagi mengekalkan tahap keupayaan dan kesiagaan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Belanjawan 2024.

Mindef dalam kenyataan hari ini berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal memperoleh 60 kereta perisai infantri dan 50 Kenderaan Taktikal Ringan Mobiliti Tinggi (HMLTV).

Selain itu, TDM juga akan dibekalkan enam ‘Hover Craft Integrated Fast Interceptor’ dan 733 Kenderaan Sokongan Pelbagai Jenis termasuk 45 unit bot pelbagai jenis.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meneruskan perolehan tiga kapal misi pesisir (LMS) dan kerja memasang pulih dua aset kapal selam.

“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula bakal menerima perolehan 12 helikopter baharu,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Mindef memaklumkan, sebanyak tujuh Pos Imbangan termasuk di Melikin dan Pa’Daleh, Sarawak akan dibina bagi meningkatkan kecekapan serta keberkesanan kawalan di pintu masuk negara.

Menurutnya, kesejahteraan anggota ATM dan veteran akan terus dipelihara dengan peruntukan Belanjawan 2024 seperti menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera serta menaik taraf sistem pembetungan kem TDM secara berfasa membabitkan peruntukan keseluruhan RM420 juta.

“Veteran ATM akan terus diperkasa menerusi inisiatif PROTEGE-RTW iaitu penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak kerajaan.

“Veteran akan mendapat manfaat melalui program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan bagi melindungi kebajikan serta sosioekonomi mereka.

“Bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada 216,758 veteran berpencen dan tidak berpencen,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Mindef berkata, veteran ATM juga akan menerima manfaat daripada penambahan 2,000 renjer komuniti yang akan dilantik daripada kalangan veteran ATM, polis, Orang Asli dan komuniti setempat.

Seterusnya, Mindef menjelaskan bahawa Hospital Angkatan Tentera akan turut bekerjasama dengan hospital Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

“Kementerian dan ATM berbesar hati serta berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman belanjawan madani kedua itu.

“Ia semestinya menyuntik iltizam dan semangat anggota untuk sentiasa mempertingkat kesiapsiagaan demi kedaulatan tanah air.

“Kementerian dan ATM juga akan berusaha supaya peruntukan dimanfaat dengan telus, berhemah serta berintegriti,” tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan peruntukan sebanyak RM19.7 bilion kepada Mindef.

Menurut Anwar, jumlah tersebut meningkat 11.21 peratus berbanding RM17.74 bilion tahun ini.

Daripada jumlah itu, RM12.67 bilion adalah bagi Peruntukan Mengurus (OE) meningkat sebanyak 11.04 peratus, manakala RM7.05 bilion bagi Peruntukan Pembangunan (DE) meningkat 11.37 peratus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI