GEORGE TOWN – “Selepas ditipu rakan, ditinggalkan suami, besarkan dua anak bersendirian serta hidup seperti orang papa kedana sejak 30 tahun lalu, kini saya amat bersyukur apabila keluar daripada status muflis.”
Demikian luah seorang peniaga nasi lemak mahu dikenali Noraishah, 52, yang merupakan antara 130,000 individu yang terkeluar daripada status muflis dengan pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani kelmarin.
Ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pindaan Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dengan hutang kurang daripada RM50,000 dapat dilepaskan secara automatik dalam masa singkat berbanding RM30,000 sebelum ini.
Noraishah berkata, dia berasa amat bersyukur dan lega setelah 30 tahun terpaksa menanggung derita sebagai individu muflis.
Akui ibu tunggal kepada dua anak itu, jumlah hutang bank sebanyak RM30,000 tidak mampu dijelaskannya sehingga ke hari ini disebabkan tanggungan berat yang dipikulnya seorang diri.
“Semuanya berlaku angkara terlalu mempercayai rakan dalam penjualan kereta milik saya tanpa menukar hak milik nama. Pemilik baharu itu gagal menjelaskan pembayaran bulanan menyebabkan saya menanggung derita.
“Saya diisytihar muflis ketika anak-anak masih kecil dan ditinggalkan suami. Selama 30 tahun saya terpaksa melalui pelbagai cabaran sehinggalah ke hari ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Ujarnya, pengumuman Perdana Menteri sekurang-kurangnya memberi nafas baharu buat dirinya selain berhasrat untuk menunaikan umrah nanti.
Sementara itu, seorang lagi pengawal keselamatan yang juga mahu dikenali Mohd. Azhar, 49, turut meluahkan kelegaan apabila bakal dilepaskan sebagai individu bankrap seperti mana yang dimaklumkan Perdana Menteri kelmarin.
“Tiada apa yang dapat dijelaskan selain meluahkan perasaan gembira. Inilah yang paling ditunggu-tunggu selama ini selain bantuan tambahan untuk golongan kurang berkemampuan.
“Jumlah hutang bank RM42,000 tidak mampu dijelaskan sejak 20 tahun lalu. Ini disebabkan saya menanggung hutang yang banyak sebaik berhenti kerja kilang.
“Saya terpaksa pulang ke kampung halaman di Kedah dan bekerja kampung kerana tidak mampu lagi hidup di bandar,” ujarnya.
Terdahulu, menerusi Belanjawan 2023, Perdana Menteri berkata, sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutang kurang daripada RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini.
Katanya, setakat Januari lalu, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan yang turut melibatkan golongan belia dengan majoritinya adalah orang Melayu. -KOSMO! ONLINE














