fbpx

Berakhir pentadbiran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi sekaligus menandakan tamatnya siri pentadbiran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal seperti yang terjadi sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, Parlimen Penggal Ke-14 telah melakarkan warna suram kepada landskap politik negara.

“Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama. Ini memberi dampak memburuk terhadap sosio-politiko-ekonomi.

“Begitupun, percakaran tanpa henti antara pemain politik dapat dikekang daripada berterusan dengan membawa mereka ke meja rundingan bagi meredakan keadaan,” katanya ketika berucap secara langsung dalam perutusan khas Perdana Menteri sebentar tadi.

Beliau berkata, natijah semangat Keluarga Malaysia berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diterjemahkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, antara kerajaan dan pembangkang.

“Ternyata, limpahan hikmah dan rahmat-Nya memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia,” ujar beliau.

Terdahulu, Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 20 Ogos tahun lalu.

Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 16 Ogos 2021.

Sebelum itu, pentadbiran kerajaan dipacu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memegang jawatan Perdana Menteri Interim selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 24 Februari 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI