fbpx

Pendapatan pelaburan KWSP merosot 21 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir Hamzah

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27 bilion bagi separuh pertama tahun ini berakhir 30 Jun 2022, penurunan sebanyak RM7.06 bilion, atau 21 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi suku kedua (S2 2022) adalah RM11.14 bilion, turun sebanyak RM3.63 bilion daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2022 pada RM4.88 bilion, merangkumi 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun yang dikaji.

Instrumen Pendapatan Tetap merekodkan 42 peratus daripada jumlah pendapatan atau RM4.73 bilion.

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.2 bilion, manakala pendapatan daripada Instrumen Pasaran Wang meningkat kepada RM0.33 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset tersebut.

Pada S2 2022, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi 36 peratus daripada jumlah aset pelaburannya menjana pendapatan RM5.51 bilion, mewakili 49 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jangkaan pertumbuhan global telah terjejas, seterusnya mencetuskan penjualan berterusan dalam pasaran global.

“Aliran menurun yang konsisten ini telah menjejaskan penjanaan pendapatan KWSP daripada portfolio ekuitinya, terutamanya daripada pasaran global yang telah merosot dalam julat 17 peratus dan 21 peratus dalam separuh pertama 2022.

“Pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza, seperti yang ditetapkan dalam Alokasi Aset Strategik (SAA) telah membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap keadaan pasaran tidak menentu di samping melindungi pulangan pelaburan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, KWSP mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran tempatan dan percaya pemulihan ekonomi Malaysia akan berterusan untuk baki tahun 2022, berikutan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua.

Data ekonomi terkini juga menandakan kemungkinan besar pertumbuhan tahun penuh Malaysia akan berada pada julat yang lebih tinggi daripada ramalan rasmi 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada 2022.

“Prestasi pasaran masih tidak menentu dan walaupun kami prihatin dengan perkembangan ini, kami mengekalkan pandangan jangka panjang dan mengambil pendekatan yang seimbang dalam keputusan pelaburan kami.

“Terdapat banyak peluang yang kami boleh manfaatkan dalam situasi yang mencabar ini,” kata Amir Hamzah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI