fbpx
GAMBAR HIASAN

Takut banjir atau takut kalah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK akhir-akhir ini isu pilihan raya kembali hangat diperkatakan. Banyak pandangan dikemukakan. Ada yang kata sudah tiba masanya diserahkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan. Ada juga yang kata belum sesuai dilaksanakan.

Apa pun yang diperkatakan, dalam pelaksanaan sistem Demokrasi Berparlimen negara, kita telah melalui pelbagai suka duka proses pemilihan kerajaan Persekutuan dan negeri sejak tahun 1955 lagi.

Ternyata apa yang dilaksanakan dalam 14 kali pemilihan, negara kita berjaya membuktikan bahawa proses pilihan raya tersebut berjalan dengan baik, teratur dan mencapai matlamatnya.

Jika ada kelemahan di sana sini, itu adalah perkara biasa yang boleh diperbaiki dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Malah, pelbagai tomahan yang disebarkan kepada umum tidak terbukti hingga ke hari ini.

Sebaliknya mereka yang membuat tohmahan itu pula ada yang berjaya menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan dijangka akan terus menjadi calon pada pilihan raya yang akan datang.

Dalam menentukan tarikh pilihan raya pula sudah tentu keadaan lebih memihak kepada parti yang menguasai kerajaan.

Namun, dalam sistem demokrasi negara, kita ada pengadil iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan penyelaras agar perjalanan dan proses pilihan raya berkenaan berjalan secara adil dan teratur.

Bagaimanapun apa yang menjadi isu sekarang ialah bukan pilihan raya itu tetapi bila masa yang sesuai diadakan pilihan raya.

Pihak pembangkang kelihatan bersungguh-sungguh mengutarakan isu banjir sebagai hujah untuk ‘menangguhkan’ hasrat kerajaan yang kini dipimpin oleh parti UMNO melaksanakan pilihan raya dalam masa terdekat.

Rasanya menjadikan isu banjir agak tidak relevan pada masa kini kerana kebarangkalian untuk berlaku banjir di negara kita sentiasa ada pada bila-bila masa dan sepanjang tahun.

Banjir dalam keadaan perubahan cuaca ekstrem beberapa tahun kebelakangan ini agak sukar diramal. Apa yang penting ialah semua pihak khususnya orang ramai sentiasa bersiap sedia dan berjaga-jaga.

Peliknya kepada pihak yang begitu beria-ia menggunakan isu banjir untuk menangguhkan pilihan raya ini tidak pula begitu prihatin kepada nasib mangsa banjir sebelum ini.

Malah, sebilangan mangsa banjir pada akhir tahun lalu ada yang masih belum terbela. Tidak pun diambil cakna oleh pihak berkenaan. Ternyata isu banjir cuma dimanfaatkan untuk jadikan bahan pilihan raya.

Sewajarnya dalam ‘pertandingan’ memenangi pilihan raya semua pihak perlu berusaha memenangi hati 21.1 juta pengundi dengan hala tuju dan agenda rakyat.

Pengundi kini semakin bijak membuat pilihan dalam memberi mandat kepada parti terbaik untuk membentuk kerajaan. -KOSMO! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN