fbpx

Speedy Tigers akhiri jelajah dengan kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain hoki kebangsaan mendengar arahan Arul ketika bertemu Perancis pada aksi persahabatan di Kelab Hoki Waterloo Ducks, Belgium semalam. - MHC

SKUAD hoki kebangsaan menamatkan jelajah Eropah dengan nota positif selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Perancis pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Kelab Hoki Waterloo Ducks, Belgium semalam.

Dua gol menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim serta masing-masing satu jaringan Muhammad Aminuddin Mohd. Zain dan Muhamad Ramadan Rosli memastikan skuad kendalian Arul Selvaraj itu bangkit daripada kekalahan besar 0-7 kepada Belgium minggu lalu.

Walaupun menang, namun Arul percaya masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan barisan pemainnya bagi memperbaiki setiap kelemahan menjelang Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh, Perak bermula 1 hingga 10 November depan.

“Dari segi statistik, Perancis menguasai 53 peratus permainan selain mendapat 16 pukulan sudut penalti (PC) dan menghasilkan dua gol. Malaysia pula mendapat enam PC dan menjaringkan tiga gol, jadi PC kita lebih bagus.

“Bagaimanapun, kita masih perlu bekerja lebih keras bagi meningkatkan kemampuan, terutamanya ketika bertahan. Tahap fizikal perlu diperbaiki bagi memastikan kita dapat buat keputusan lebih bagus,” katanya.

Tambah beliau, siri jelajah yang dilakukan Speedy Tigers boleh dianggap mencapai matlamat kerana mampu menewaskan Belgium A 1-0 biarpun dibelasah oleh skuad utama pasukan No.2 dunia itu.

“Apa yang kita nak capai dalam jelajah ini adalah untuk bermain dengan pasukan No.2 terbaik dunia, Belgium. Kita menang dengan pasukan A mereka sebelum tewas ketika menentang pasukan utama, jadi banyak yang sudah kita pelajari.

“Bertemu dengan Perancis hari ini (semalam), kita dapat apa yang kita mahukan, iaitu kemenangan. Pasukan bermain dengan tempo yang tinggi serta bertenaga apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol,” ujar Arul.

Skuad negara dijadualkan tiba di tanah air Sabtu ini dan akan berehat beberapa hari sebelum kembali menjalani latihan bagi melakukan persiapan ke arah Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI