PUTRAJAYA – Siti Khadijah Sdn. Bhd. (Siti Khadijah) bakal melabur antara RM4 juta hingga RM5 juta untuk perkembangan terbaharunya merentasi sempadan antarabangsa menembusi pasaran negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Munzir Aminuddin berkata, pelaburan yang menggunakan dana dalaman itu bakal direalisasikan sebelum suku pertama tahun depan.
Menurutnya, ini adalah usaha syarikat meluaskan penguasaan pasaran melalui pembukaan outlet di pusat beli belah atau di lot kedai di lokasi strategik di negara-negara berkenaan.
Syarikat juga mungkin akan bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan di Brunei dan Thailand untuk pembukaan outlet baharu di negara berkenaan pada masa depan.

“Kita akan susun strategi pengembangan perniagaan ke seberang laut memandangkan permintaan yang tinggi daripada di sana, kami lihat terdapat banyak ruang untuk kami ceburi bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi juga hingga ke Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian butik terbaharu Siti Khadijah selepas dipindahkan dari lokasi sedia ada di IOI City Mall di sini ke sayap baharu pusat beli belah tersebut di sini baru-baru ini.
Butik yang melibatkan pelaburan RM500,000 itu menawarkan konsep baharu ‘Memupuk Gaya Hidup Bermanfaat selain menawarkan kemudahan surau yang ditempatkan di bahagian depan butik tersebut yang boleh digunakan oleh pengunjung.

“Setiap produk yang dipamerkan di surau itu di tawarkan untuk jualan kepada pengunjung dan kami mahu menjual konsep surau tersebut di setiap kediaman orang Islam agar mereka memiliki ruang bersolat bersama keluarga dan tetamu, barangkali Siti Khadijah adalah syarikat perintis menyediakan surau di hadapan butik,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Khadijah juga mengumumkan pelantikan Shafie Shamsuddin yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan AEON CO (M) Berhad sebagai pengerusi baharu syarikat tersebut.
Pelantikan tersebut akan membolehkan perancangan syarikat untuk terus mengukuh dan mengembangkan empayar perniagaannya berjalan dengan lebih lancar dan teratur ekoran pengalaman luas Shafie dalam dunia korporat dan bidang peruncitan di dalam dan luar negara. -KOSMO! ONLINE














