fbpx

Malaysia perlu 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Induk Taman MRANTI dan Penjenamaan Baharu MIMOS Berhad di ibu negara hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan sekurang- kurangnya 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi sekiranya mahu bersaing dengan negara-negara terkemuka dunia.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia hanya mewakili 29.6 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, amat penting untuk kerajaan merancakkan semula ekosistem teknologi dan inovasi.

“Ia bukan sahaja menerusi bekalan bakat yang berterusan, tetapi juga berusaha mengurangkan ‘brain drain’ dalam kalangan bakat-bakat hebat tempatan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk memacu inovasi tempatan. Apa yang diperlukan sudah pasti sebuah lokasi sebagai hab inovasi dengan infrastruktur yang bersepadu,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Induk Taman MRANTI dan Penjenamaan Baharu MIMOS Berhad di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, negara memerlukan sebuah taman teknologi yang menjadi titik pertemuan pemegang taruh antaranya inovator, penyelidik dan pelabur bagi mengukuhkan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI), selain mampu menarik pelaburan langsung asing serta domestik bagi memacu ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Bagi menyokong usaha-usaha pembangunan sektor inovasi, kerajaan telah meluluskan sebanyak 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bernilai RM5.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Melalui ‘National Technology and Innovation Sandbox (NTIS)’,sebanyak 163 syarikat telah diluluskan dan menerima sokongan pembiayaan sebanyak RM67 juta, bantuan kawal selia, teknikal dan kepakaran,” ujarnya.

Menurutnya lagi, STI merupakan pemangkin sosioekonomi yang mampu meningkatkan penjanaan pengetahuan, penciptaan kekayaan, kesejahteraan masyarakat, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan.

“Tumpuan khusus perlu diberikan kepada STI khususnya inovasi R&D yang perlu dikomersialkan sama ada dibiayai kerajaan mahupun swasta, selain kegiatan pengkomersialan membolehkan penawaran produk dan perkhidmatan bernilai tinggi, serta mencipta pelbagai peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI