fbpx

Didenda RM10,000 hempas pasu bunga pada kereta abang, kakak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norazizul ketika dibawa bagi empat pertuduhan di Mahkamah Shah Alam. FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Tindakan seorang penganggur merosakkan dua buah kereta beradiknya dengan menghempas pasu bunga pada hujung bulan lalu membawa padah apabila didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohamed Reza Azhar Rezali menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Norazizul Lizam Miskun, 47, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan dikenakan kepadanya.

Jika gagal bayar, tertuduh diperintahkan penjara selama 12 bulan.

Mengikut pertuduhan, Norazizul didakwa melakukan khianat dengan sengaja dengan menghempaskan pasu bunga pada cermin depan dan belakang kereta jenis Honda Accord dan Perodua Myvi milik abang dan kakaknya yang masing-masing berusia 53 dan 49 tahun di hadapan rumah beradiknya itu di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 di sini pukul 4 petang pada 25 September lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani atas pertuduhan melibatkan diri dengan memasukkan dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 7.40 petang pada 26 September lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 21 September depan sebagai tarikh jatuh hukum.

Di Mahkamah Sesyen pula, Norazizul mengaku tidak bersalah atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah seorang anggota polis Mohd. Ridzuan Marsuidi, 32, dengan menggunakan parang di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumahnya di Jalan Sungai Kandis, Seksyen 36 kira-kira pukul 4.01 petang pada 26 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Norazizul dibenarkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin selain tidak menganggu mangsa dan saksi dengan sebutan semula kes pada
pada 21 Disember depan.

Dalam kesemua prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb, Saidah Fasihah Che Yusoff dan S. Reetha dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

Kosmo! pada 27 September lalu melaporkan dua anggota polis termasuk seorang daripadanya parah di tangan selepas ditetak seorang penagih dadah dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI