fbpx

Rundingan Perolehan SPH masih berjalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin (tengah) melihat senjata yang digunakan Angktatan Tentera Malaysia ketika sesi Lawatan Kementerian Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menafikan dakwaan berkenaan tender pembekalan sistem meriam artileri jenis self-propelled Howitzer (SPH) Tentera Darat (TDM) bernilai RM854 juta, diberi kepada syarikat yang baharu sahaja ditubuhkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dakwaan itu tidak benar berikutan proses rundingan masih berjalan.

“Pendedahan yang keluar ni mungkin cubaan nak timbulkan kekeruhan atau keraguan tapi saya boleh nyatakan di sini bahawa SPH ni belum kita award lagi dan proses rundingan antara Mindef dan Kementerian Kewangan (MOF) masih diteruskan.

“Maklumlah dalam landskap politik hari ni akan ada macam-macam benda yang akan diluahkan. Saya minta semua rasional dan benarkan proses berjalan seperti biasa,” katanya ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Kem Perdana Sungai Besi.

Hishammuddin berkata, surat-surat di antara kementerian sebelum ini adalah rahsia dalam keadaan sekarang ia agak mustahil untuk dilakukan (disorokkan).

“Setakat proses nak beri projek saya tak risau sangat tetapi sekiranya maklumat-maklumat rahsia berhubung kait dengan perkara atau peralatan yang boleh menjejaskan kesiapsiagaan kita telah bocor kepada musuh-musuh, itu lebih membimbangkan saya.

“Bagaimana ia boleh bocor sebelum proses muktamad lagi, wallahualam,” katanya.

Sebelumnya, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendedahkan syarikat baharu ditubuhkan kurang dua tahun mendapat tender pembekalan sistem meriam artileri jenis SPH TDM bernilai RM854 juta.

Beliau mendakwa, syarikat itu didapati hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun dari tarikh anugerah kontrak oleh kerajaan hasil semakan yang dilakukan beliau sendiri dengan SSM.

Menurutnya lagi, syarikat itu juga tidak mempunyai rekod dalam industri pertahanan tetapi mendapat kontrak pembekalan persenjataan yang agak besar seperti itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI