fbpx

Bertindak guna akal bukan ikut nafsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Kejadian menyayat hati yang menyaksikan 125 nyawa melayang dalam kejadian rempuhan penonton di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia pada malam Sabtu lalu bukan sahaja mengejutkan negara jiran kita itu, malah turut membuatkan dunia berduka.

Semuanya dikatakan bermula daripada tindakan seorang penyokong pasukan Arema FC yang menceroboh dan meluru ke tengah padang untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya atas kekalahan 2-3 pasukan itu kepada pasukan Prasebaya FC.

Tindakan lelaki itu bagaikan menuang minyak kepada ribuan penyokong lain yang ketika itu sedang membaling pelbagai objek ke tengah padang akibat rasa marah.Mereka kemudian turun ke tengah padang beramai-ramai sehingga mencetuskan keadaan tidak terkawal dan mendorong pihak polis melepaskan gas pemedih mata.

Akibat pelepasan gas berkenaan, ribuan penyokong berasak-asak mencari pintu keluar sehingga ada yang terjatuh dan mati akibat dipijak.

Di sebalik kejadian tersebut, iktibar diperolehi adalah kita tidak boleh terlalu mengikut kata hati dalam tindak tanduk terutamanya ketika berada dalam keadaan marah, tidak puas hati, kesempitan hidup atau kecewa kerana ia sebenarnya boleh menyebabkan akibat yang lebih buruk.

Secara realitinya, ramai juga dalam kalangan kita yang sebenarnya gagal menyeimbangkan antara tindakan mengikut kewarasan akal fikiran dengan dorongan kata hati. Akibatnya mereka lebih terdorong untuk bertindak mengikut kehendak hawa nafsu tanpa berfikir jauh tentang baik buruk akibat tindakan mereka itu.

Perkara ini boleh berlaku di mana-mana, baik di jalan raya sewaktu menunggang motosikal atau memandu kereta. Ramai juga dalam kalangan masyarakat kita yang bergaduh di jalan raya hanya tidak berpuas hati dengan sikap pemandu lain dengan bertindak di luar batasan.

Begitulah juga di tempat lain seperti di pejabat apabila ada yang sanggup berhenti kerja hanya kerana tidak berpuas hati diberi lebih kerja dan sebagainya.

Jadi tidak hairanlah jika kita lihat hari ini ramai yang bermasam muka atau bergaduh sesama sendiri hanya kerana perkara-perkara yang kecil. Lebih malang jika ada yang sampai ke tahap pukul-memukul, cedera-mencederakan dan bunuh-membunuh.

Lebih menyedihkan jika tindakan seseorang itu hanya kerana terikut-ikut dengan orang lain. Hanya kerana orang benci, maka dia pun turut terdorong untuk turut membenci. Apabila seseorang memburukkan satu pihak, maka dia pun turut memburukan pihak itu, sedangkan dia sendiri bertindak demikian hanya kerana terikut-ikut dengan orang lain tanpa berfikir betulkah tindakannya itu.

Jadi di sinilah pentingnya kepada kita untuk menyeimbangkan antara kata hati dan akal fikiran supaya setiap tindak tanduk atau keputusan hidup yang diambil benar-benar dibuat setelah memikirkan semasak-masaknya tentang buruk dan baiknya.

Paling penting, sesuatu keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan akal fikiran yang waras, sudah pasti kebijaksanaan seseorang itu akan terserlah berbanding dengan seseorang yang hanya bertindak mengikut kata hati atau hawa nafsu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI