JEMPOL – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan ucapan terima kasih kepada kumpulan penyokong baginda yang sempat menyerahkan memorandum sokongan dan taat setia kepada Baginda.
“Terima kasih,” titah spontan Tuanku Muhriz selepas penyerahan berkenaan dibuat oleh Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profansi), Muhamad Kamel Yassin sempena Majlis Solat Jumaat dan Santapan bersama baginda di Masjid Tuanku Muhriz Bandar Seri Jempol, di sini, hari ini yang dihadiri lebih 1,500 individu.
Turut berangkat kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Terdahulu, Tuanku dan anakanda tiba kira-kira 1 tengah hari disambut oleh Penghulu Luak Jempol Dato’ Lela Putra Setiawan, Dato’ Mazri Mansor dan dua Penghulu Luak Tanah Mengandung yang lain masing-masing Penghulu Luak Inas serta Penghulu Luak Gunung Pasir dan Dato’-Dato’ adat.
Tuanku bersama anakanda baginda turut menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak serta mencemar duli ke santapan sebelum berangkat pulang.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Sokong DYMM Tuanku YDPB Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin berkata, seramai 12 badan bukan kerajaan (NGO) dengan lebih 200 ahli hadir sama menunaikan solat Jumaat serta menyerahkan memorandum sokongan.-KOSMO! ONLINE














