fbpx

80 peratus kawasan di Bangladesh bergelap 6 jam akibat bekalan elektrik terputus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di kawasan kejiranan semasa bekalan elektrik terputus di Dhaka kelmarin. - AFP

DHAKA – Seramai 140 juta penduduk Bangladesh terpaksa bergelap hampir enam jam dalam satu insiden bekalan elektrik terputus yang didakwa sebagai terbesar di dunia setakat ini, lapor akhbar The Sun semalam.

Pemadaman kuasa elektrik besar-besaran itu dikatakan berlaku akibat ‘kegagalan misteri’ pada tapak grid elektrik, demikian menurut syarikat utiliti tenaga milik kerajaan.

Sehingga petang tadi, tiada penjelasan lanjut dibuat mengenai punca tenaga elektrik terputus di hampir 80 peratus kawasan di seluruh Bangladesh sejurus selepas pukul 2 petang (waktu tempatan) semalam.

Menurut jurucakap Lembaga Pembangunan Tenaga, Shamim Ahsan, hanya beberapa kawasan di barat laut Bangladesh yang ‘terselamat’ daripada gangguan bekalan tersebut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan tetapi berkemungkinan besar ia disebabkan masalah teknikal,” jelas Shamim.

Sementara itu, jurucakap syarikat grid kuasa milik kerajaan negeri, A.B.M Badruddoza berkata, bekalan elektrik di separuh daripada kawasan yang terjejas kembali pulih menjelang lewat petang hari yang sama.

Menteri Teknologi, Zunaid Palak menerusi laman Facebook pula memaklumkan bahawa bekalan elektrik akan dipulihkan pada pukul 8 malam (waktu tempatan) di bandar ibu negara, Dhaka.

Bangladesh telah mengalami krisis kuasa terbesar dalam beberapa bulan kebelakangan ini akibat daripada harga tenaga global yang lebih tinggi berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine selain mengenakan pemotongan berkala untuk menjimatkan tenaga elektrik.

Kerajaan melaksanakan pemotongan elektrik yang berpanjangan untuk menjimatkan stok sedia ada pada Julai lalu dengan gangguan berlarutan sehingga 13 jam sehari pada waktu kemuncaknya.

Kali terakhir Bangladesh mengalami pemotongan bekalan elektrik tidak berjadual adalah pada November 2014 apabila kira-kira 70 peratus negara itu terputus bekalan elektrik selama hampir 10 jam. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI