fbpx
MENERUSI sistem time bank yang dipraktikkan di The Hatchery Place, Subang Jaya, masa yang diluangkan untuk mengajar kemahiran kepada orang lain dapat dijadikan kredit untuk mendapat kemahiran yang lain.

Sistem time bank, ‘bayar’ kemahiran dengan kemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA orang individu kelihatan berkumpul di bahagian luar kediaman teres dua tingkat itu bersama sekeping kertas dan beberapa unit berus lukisan.

Mereka dilihat sedang menghasilkan lukisan dalam satu komuniti kejiranan yang selesa dan kreatif.

Usai melukis, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Syaira kemudian memberitahu, kemahiran teknik intuitive painting yang diajarnya kepada seorang wanita bernama Bani yang sedang duduk di hadapannya itu adalah sebagai pertukaran kepada kemahiran mengemas barangan atau decluttering yang diajar Bani kepadanya dua bulan lalu.

“Bani mempunyai kemahiran decluttering yang baik dan mengajarnya kepada saya bagi memastikan saya boleh membuang barangan yang tidak lagi diperlukan.

“Sebagai balasan, saya kemudian mengajar Bani teknik melukis yang dipanggil intuitive painting atau melukis dengan menggunakan gerak hati,” ujar Syaira kepada K2.

Khidmat bertukar kemahiran atau perkhidmatan yang dibuat Syaira dan Bani adalah berasaskan sistem time bank atau bank masa yang dicetuskan pemilik sebuah premis komuniti di Subang Jaya, Selangor.

ELAINE (duduk, dua dari kiri) bersama pasangannya, Kevin (berdiri, dua dari kiri) dan rakan-rakan yang menjayakan premis komuniti itu.

Terletak di sebuah kawasan kejiranan di SS11, premis dikenali sebagai The Hatchery Place itu dibuka secara rasminya pada 2016 oleh Elaine Wong, 46, dan pasangannya, Kevin Yeoh, 45.

Sorot Elaine, dia yang sebelum ini bekerja dalam sektor korporat tercari-cari ruang dan peluang untuk memulakan sesuatu dalam bidang kreatif.

“Saya dan Kevin merupakan bekas pekerja dalam sektor korporat yang kemudiannya memutuskan untuk berhenti kerja dan mencipta satu ruang untuk kami ‘lari’ seketika daripada dunia korporat bagi meneroka aktiviti yang lebih sesuai dengan minat.

“Kami menubuhkan The Hatchery Place yang pada asalnya merupakan ruang kerja dan tempat tinggal bagi sesiapa yang berjiwa kreatif seperti kami dan mahukan ruang kerja yang selesa.

“Ruang kediaman di Subang Jaya itu kemudian berkembang menjadi sebuah ruang komuniti kecil yang membolehkan orang ramai bertukar kemahiran, budaya dan juga pengalaman antara satu sama lain,” ujar Elaine.

Orang ramai boleh gunakan ruang dalam kediaman itu untuk aktiviti persendirian seperti bekerja atau membaca dan juga penganjuran bengkel kemahiran.

Begitu pun, Elaine berkata, selepas lebih dua tahun hanya berkawan secara online akibat pandemik, dia kemudian menyedari bahawa dirinya mahukan persahabatan secara fizikal.

“Jika dahulu, kita sering mengeratkan hubungan sesama kita dengan melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong dan menziarahi jiran tetangga.

“Namun, dalam zaman serba moden ini, amalan rukun tetangga itu semakin pudar memandangkan kita hanya berhubung secara online, lebih-lebih lagi dalam era pandemik,” ujarnya yang tercari-cari kaedah menarik untuk menghidupkan semula rukun tetangga.

SALING mengajarkan kemahiran akan dapat mengeratkan hubungan sesama manusia yang hidup dalam komuniti.

Seorang rakan kemudian mencadangkan kepada Elaine untuk mempraktik konsep time bank yang kini popular di beberapa negara di dunia.

Time bank merupakan satu konsep perkongsian kemahiran yang mana kaedah pembayaran dibuat dengan menggunakan sistem pertukaran kemahiran.

Sebagai contoh, seseorang yang berkemahiran memasak dan mahu mempelajari kemahiran menjahit, boleh berbuat demikian menerusi pertukaran kemahiran dengan mereka yang mahir menjahit sebagai medium pembayaran bagi kemahiran yang diberikan.

Selain bertukar kemahiran sesama mereka, individu yang mempunyai sesuatu kemahiran juga boleh menukarkan satu jam bantuan yang diberikan dengan satu nilai kredit, yang mana kredit tersebut kemudiannya boleh digunakan untuk mana-mana kemahiran lain yang ditawarkan di The Hatchery Place. Antara kemahiran atau perkhidmatan yang ada di The Hatchery Place ialah melukis, peneman bagi urusan harian, khidmat bawa haiwan

peliharaan bersiar-siar dan bantuan berkaitan teknologi maklumat (IT).

Setiap jam masa biasanya dinilai sama, tanpa mengira perkhidmatan diberikan. Secara teori, apa-apa jenis kemahiran atau perkhidmatan boleh ditukar dengan perkhidmatan lain.

Jelas Elaine, konsep time bank dicipta oleh Edgar Cahn, seorang peguam yang juga seorang profesor perundangan dari Amerika Syarikat (AS). Selain popular di AS dan Britain, time bank juga popular di beberapa negara Asia khususnya di Jepun, Korea Selatan dan India.

“Komuniti dari negara-negara luar menggunakan time bank bagi memupuk hubungan kemasyarakatan sesama mereka. Cahn dalam bukunya yang bertajuk No More Throw-Away People menulis bahawa dia berharap untuk memupuk sifat mengambil berat dan semangat terhadap keadilan menerusi medium pembayaran baharu itu.

“Selain itu, Cahn turut menggariskan bahawa setiap individu di dalam dunia ini adalah aset dan setiap daripada kita mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada orang lain,” kata Elaine.

ASALNYA pusat komuniti di Subang Jaya ini ditubuhkan sebagai ruang untuk bekerja atau penganjuran bengkel kemahiran.

Tambahnya, model time bank yang paling banyak diamalkan adalah dalam bentuk jiran tetangga yang menghulurkan bantuan sesama mereka bagi membentuk semangat kemasyarakatan yang kuat.

Ujar Elaine, konsep time bank juga turut mengurangkan rasa bersalah yang mungkin timbul dalam kalangan sesetengah individu apabila meminta pertolongan orang lain.

“Adakalanya, kita berasa bersalah untuk meminta pertolongan daripada rakan-rakan kerana bimbang pertolongan itu akan bebankan mereka.

Bagi Cordelia Lee, dia yang berpeluang bekerja bersama Elaine menganggap idea di sebalik penubuhan The Hatchery Place sebagai sebuah pusat komuniti yang cukup menarik.

“Saya berpeluang menganjurkan sebuah bengkel penghasilan stoking di The Hatchery Place.

“Saya harap model time bank itu boleh mengembalikan semangat rukun tetangga yang kian pudar selain mewujudkan komuniti yang saling mengambil berat antara satu sama lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN