fbpx
AZIZULHASNI tekad memasang impian untuk membutirkan pingat emas Olimpik pertama buat negara pada Paris 2024.

Semangat Azizulhasni belum pudar untuk gondol emas Olimpik  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMANGAT jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang belum pudar apabila pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu tekad untuk membutir pingat emas Olimpik Paris 2024 kelak. 

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu tersebut dilihat tidak kenal erti putus asa untuk menggenggam emas pertama Malaysia di Paris nanti meskipun dia berdepan pelbagai cabaran termasuk menjalani pembedahan jantung pada April lalu.

“Ada orang tanya saya, adakah saya mahu melalui proses itu sekali lagi (proses persiapan) dan mengakui bersedia dan saya tidak pernah berputus asa.

“Bagi sesetengah orang mungkin mereka tidak faham cara pemikiran kita. Saya bukan saja mahu membuktikan kepada masyarakat atau dalam sukan saja tetapi saya juga mahu buktikan kepada diri saya sendiri.

“Saya mahu keluar dari zon selesa, mahu cabar diri dan tahap saya. Menang atau kalah di Paris nanti, ia adalah cerita kemudian kerana apa yang paling penting kita usaha dulu.

“Saya juga berharap apa yang saya lakukan ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan muda,” kata Azizulhasni selepas Majlis Pelancaran Gardenia Breakthru dan pengumumannya sebagai duta di Kuala Lumpur semalam.

Pelumba yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu disahkan mengalami masalah jantung yang dikenali sebagai anomalous aortic origin of right coronary artery (AAORCA) sebelum memutuskan melakukan pembedahan pada 21 April lalu di Melbourne, Australia.

Selepas enam bulan, Azizulhasni berkata, dia sudah kembali ke trek bagi memulakan latihannya dengan fokusnya terarah terhadap persiapan bagi menghadapi Sukan Asia di Hangzhou, China tahun depan.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan John Beasley (ketua jurulatih skuad berbasikal trek), perancangannya adalah untuk saya menyertai satu atau dua kejohanan pada Disember nanti. Ia bagi mendapatkan semula momentum dan suasana dalam perlumbaan.

“Namun, untuk prestasi sasaran utama adalah Sukan Asia tahun depan yang mana ia adalah temasya terakhir saya. Sebelum temasya itu nanti, ada beberapa kejohanan yang saya akan sertai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR