fbpx

Polis Sentul tidak bersubahat dengan gengster

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis daerah Sentul menafikan dakwaan bersekongkol dengan individu yang mendakwa dirinya gengster seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya mengesan satu gambar laporan polis berhubung kejadian seorang lelaki tempatan diugut kumpulan gangster yang tular di Facebook pukul 4.35 petang tadi.

Menurut beliau, laporan polis itu berkait dengan aduan ugutan dilaporkan pada 4 September lalu yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Kita menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang mendakwa diugut seorang lelaki dikenali ketika berada di Pejabat D7 (Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pukul 11.12 malam pada 4 September lalu.

“Siasatan dilakukan mendapati berlaku pergaduhan membabitkan dua kumpulan terdiri warga tempatan di kawasan parkir luar Jalan Vista Mutiara 1 kira-kira pukul 2 pagi pada 29 Ogos lalu.

“Tujuh individu telah pun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seorang saksi kejadian dipanggil ke Pejabat D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi membantu siasatan yang mana dua saudaranya ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan itu kira-kira pukul 2 petang pada 3 September lalu.

Kata beliau, ketika berada di Pejabat D7 IPD Sentul, saksi ada berinteraksi dengan tangkapan itu dalam bahasa Cina.

Bagaimanapun, polis yang sedang bertugas tidak melihat sebarang perlakuan jenayah dalam interaksi terbabit walaupun tidak memahami bahasa Cina yang dipertuturkan.

Beliau berkata, semua tangkapan itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 4 September lalu.

“Dua daripada mereka dituduh pada 9 September lalu mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan selepas menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Bertindak atas laporan dibuat pengadu bersabit insiden yang tular di Facebook itu, pihak polis sudah menahan suspek berkenaan pada 8 September lalu dan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 9 September lalu atas kesalahan ugutan jenayah,” katanya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI