fbpx
Peniaga masih mengekalkan harga kerana belum berupaya berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah. - Gambar hiasan

Ayam, minyak murah tetapi bahan lain semua mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Kebanyakan peniaga mendakwa mereka masih tidak dapat mengurangkan harga makanan untuk dijual kepada pe­langgan meskipun bahan mentah seperti ayam dan minyak masak mengalami penurunan sejak bulan lalu.

Masalah timbul apabila ada dalam kalangan peniaga bahan mentah menjual pada harga yang berbeza-beza sehingga memberi kesan kepada peniaga makanan yang mempunyai restoran, warung atau di tepi jalan.

Pemilik restoran masakan panas di Bangi Avenue di sini, Azhar Haris, 40, berkata, setiap hari dia perlu membeli isi ayam pada harga antara RM30 hingga RM32 bagi 2 kilogram (kg).

“Saya beli 6 kg setiap hari dan penjual memberi harga antara RM29 hingga RM30 untuk 2 kg. Bagi saya ia masih mahal.

“Ekoran itu, saya terpaksa membuat kenaikan jualan sebanyak dua kali pada tahun ini disebabkan peningkatan kos,” katanya yang sudah tujuh tahun berniaga.

Pengurus premis masakan Kelantan, Kaman Pa, 48, pula berkata, setiap hari dia membeli kira-kira 40 kg ayam untuk masakan di kedainya dengan harga runcit ayam RM8.70 untuk 1 kg.

“Tetapi harga bahan mentah lain seperti sayur dan santan masih tinggi. Pelanggan mengadu jual mahal tetapi mereka tidak tahu situasi yang kami hadapi,” katanya.

Di Temerloh, peniaga sate di Batu Tiga, Mohd. Aris Abdul Aziz, 60, berkata, memang harga ayam sudah turun tetapi barangan lain masih mahal.

“Saya berniaga selama 10 tahun bermula dari zaman sate 50 sen secucuk tetapi sekarang sudah jadi RM1. Hal lain juga perlu diambil kira seperti sewa, petrol dan lain-lain.

“Sekarang ini pun tak berapa untung dan hendak turun harga lagi? Mana boleh. Syukur pelanggan memahami dan tidak ada yang merungut kerana mereka tahu situasi ketika ini,” katanya.

Di Sungai Petani, peniaga di sekitar daerah Kuala Muda mendakwa bekalan bahan mentah seperti minyak masak, telur dan sayur mengalami pengura­ngan hingga menyebabkan harga melambung tinggi.

“Macam mana hendak turunkan harga jika bahan mentah melambung. Lagipun ketika ini saingan banyak sebab orang sudah mula berniaga semula hingga berlaku perebutan untuk mendapatkan bahan mentah,” kata seorang peniaga dikenali sebagai Kak Timah.

Di Kuala Terengganu, alasan yang sama diberikan oleh penjual nasi ayam, Muhammad Adam Zawawi, 28, yang mengatakan penurunan harga bahan mentah masih belum stabil.

“Harga borong ayam 1 kg ketika ini ialah RM8.50 berbanding RM5.80 pada 1 Ogos tahun lalu. Kami terpaksa menyerap kenaikan kos bahan mentah naik berkali-kali tahun ini,” katanya yang menjual nasi ayam RM8 sepinggan.

Tambahnya, dia menggunakan 250 kg ayam untuk tiga cawangannya di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Pemilik Mc Jang Cafe, Nor Harizan Hassan, 43, berkata, harga rempah dan cili kering yang melambung menjadi sebab harga makanan tidak dapat diturunkan.

“Contohnya, harga rempah masakan pada awal tahun dahulu hanya RM26 untuk satu beg (3 kg) sekarang naik kepada RM34. Cili kering pula dahulu cuma hanya RM18 sekilo kini naik hingga RM24.

“Nasi ganja sekarang RM5 berbanding RM4 sebelum ini. Berlaku kenaikan dan diharapkan pihak berkuasa turun padang untuk faham situasi peniaga,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN