fbpx
Fatehah (kanan) menunjukkan rantai corak lipan kai-kai dan pekerjanya, Syazwani Ismail mempamerkan corak lipan di Kedai Emas Noris, Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu baru-baru ini. – KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Belanja RM20,000 beli emas RM233 segram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Beli emas ba­haru dengan corak terkini, jual barangan kemas lama. Itu trend kebanyakan peminat emas ketika harga emas jatuh kepada RM233 segram pada Isnin lalu.
Harga itu paling rendah dalam tempoh dua bulan selepas nilai semasa emas pernah turun ke­pada RM238 segram pada Julai lalu.

Seorang pemilik kedai emas di Pasar Siti Khadijah, Noraini Ismail, 28, berkata, dua minggu lalu, harga semasa emas RM240 segram sebelum menurun ke­pada RM233 segram.

“Dalam tempoh itu, hampir setiap hari harga emas turun. Meskipun harga emas jatuh, saya mendapati kunjungan pelanggan di kebanyakan kedai emas di Pasar Siti Khadijah sama se­perti biasa, tidak terlalu ramai dan tidak pula begitu kurang.

“Kebanyakan pelanggan yang datang ke premis saya bukan mahu membeli emas baharu, sebaliknya menukar bara­ngan kemas lama dengan emas ba­haru yang ditawarkan pada harga RM216 segram,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Noraini, meskipun tidak ramai yang datang membeli emas, perniagaannya dapat ditampung semula apabila ada pelanggan membeli barang perhiasan itu pada harga RM5,000 hingga RM20,000 setiap seorang.

“Ini adalah masa yang tepat untuk orang ramai menukar barangan kemas lama kepada corak baharu seperti klip kertas dan gantung hati untuk rantai tangan atau leher.

“Kebanyakan pelanggan da­tang untuk menukar barangan kemas mereka semasa harga jatuh dan akan menjual semula ketika harga emas naik,” ujarnya.

Menurutnya, dia turut menjangkakan harga emas akan terus turun sehingga akhir tahun ini.

Seorang lagi peniaga Kedai Emas Noris di Pasar Siti Khadijah, Fatehah Ferdaus, 25, berkata, peniaga akan mengalami kerugian jika harga emas terus turun.

Katanya, ini kerana kebanyakan peniaga emas membeli barangan kemas semasa harga mahal iaitu melebihi RM238 segram, namun terpaksa menjualnya pada harga RM233.

“Rugi itu adat dalam berniaga, namun saya tetap gembira apa­bila ramai pelanggan datang untuk membeli emas sejak minggu lalu semasa harga RM236 segram.

“Mungkin mereka tidak me­nyangka harga emas turun ke­pada RM233 minggu lalu. Jika mereka tahu, saya pasti pelanggan akan menyerbu kedai emas pada hari Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan trend semasa, pelanggan wanita gemar corak baharu yang ditawarkan di pasaran iaitu lipan kai-kai dan sauh bola.

Sementara itu, seorang penggemar emas, Kamisah Azid, 51, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan-rakannya mengenai harga emas turun kepada RM233 segram pada ming­gu lalu.

Menurutnya, ia merupakan tawaran harga yang paling rendah setakat ini dan terus mengajak anak perempuannya ke kedai emas di Pasar Siti Khadijah.

“Rabu lalu, saya membeli dua bentuk cincin dan dua utas gelang tangan yang bernilai RM10,000. Ia merupakan satu pelaburan sekiranya membeli emas semasa harga sedang jatuh.

“Ia boleh dijual semula ketika harganya melonjak selepas ini. Lagi pun, saya tidak lagi membeli barangan kemas pada tahun ini. Pembelian kali ini merupakan pelaburan pertama untuk tahun ini apabila melihat harganya jatuh,” ujarnya.

Di Kuala Terengganu, permintaan terhadap barangan kemas melonjak berikutan penurunan berterusan harga emas di pasaran sejak dua bulan lalu.

Seorang pengusaha kedai emas, Zakaria Yusof berkata, trend harga emas menunjukkan kejatuhan daripada RM245 segram pada Julai kepada RM240 pada hujung Ogos sebelum RM233 segram pada minggu lalu.

“Banyak faktor penurunan tersebut yang kebanyakannya di­sebabkan ekonomi global pada masa ini.

“Kesan positifnya rangkaian kedai emas di Terengganu terutama di Pasar Besar Kedai Pa­yang di sini kembali dikerumuni peminat dan pengumpul emas dari seluruh negara sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.

Zakaria yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kuala Terengganu berkata, jualan barangan kemas di Terengganu mengalami kenaikan sekurang-kurangnya 30 peratus sejak awal bulan ini.

Ujarnya, kebanyakan pelanggan yang membeli emas terdiri dari luar Terengganu termasuk Kuala Lumpur dan Johor yang mengunjungi negeri ini pada hujung minggu dan cuti am.

“Tempoh puncak pembe­lian emas ialah pada musim cuti persekolahan pada awal bulan ini. Sambutan pada hujung minggu selepas cuti persekolahan berakhir juga memberangsangkan.

“Antara barangan kemas yang menjadi pilihan ialah gelang ta­ngan bercorak bebola sawi,” katanya.

Zakaria berkata, ramai pengusaha kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang telah meningkatkan bekalan barangan kemas sebagai persediaan memenuhi permintaan pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN