fbpx
MAHYUDIN menunjukkan kawasan yang digenangi air di Pasar Malam Ayer Hangat, Langkawi kelmarin.

Peniaga pasar malam ‘berendam’ dalam lopak air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan beberapa peniaga di Pasar Malam Ayer Hangat di sini terpaksa mendirikan khemah mereka di dalam lopak air untuk menjual barangan mereka.

Tinjauan Kosmo! Ahad di Pa­sar Malam Ayer Hangat kelmarin mendapati, sebanyak 10 buah khemah masih digenangi air sehingga waktu petang walaupun hujan hanya turun pada awal pagi.

Seorang peniaga, Mahyudin Saleh, 54, berkata, dia terpaksa ‘berendam’ selama kira-kira lima jam bermula pukul 5 petang sehingga pasar malam ditutup.

“Sebelum ini ada longkang dibina, namun penutup besi longkang sering hilang dan lori pula kerap lalu-lalang di kawasan ini sehingga merosakkan bahagian tepi longkang.

“Keadaan itu menyebabkan ada pihak yang menutup terus longkang ini kira-kira dua tahun sebelum pandemik melanda.

“Sejak itu kalau musim hujan, air akan bertakung dan kami terpaksa berniaga di dalam lopak air,” katanya.

Seseorang lagi peniaga, Jamaluddin Abd. Karim, 60, memberitahu, ada aduan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masih tiada tindakan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya pernah dengar pihak persatuan peniaga pasar malam melaporkan perkara ini kepada PBT, namun tiada tindakan.

“Longkang lain yang sedia ada hanyalah dua meter dari khemah saya, tetapi binaannya menyebabkan air bertakung dan tidak masuk ke dalam longkang tersebut,” ujarnya.

Bagi Siti Rogayah Ahmad, 53, pula, meskipun gerainya tidak digenangi air, dia terpaksa melalui kawasan air bertakung.

“Air bertakung ini mencacatkan pemandangan dan pastinya nanti akan ada masalah kebersihan disebabkan air ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR