fbpx

Wanita mangsa culik dibunuh, mayat ditemui dalam gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzaffir

SEREMBAN – Kes culik seorang wanita yang dilarikan di kawasan Broga, Lenggeng di sini Isnin lalu terjawab apabila mayat mangsa ditemui dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor dua hari selepas kejadian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihak polis telah menerima laporan pada Isnin lalu berkenaan penculikan seorang wanita berusia 27 tahun yang telah dilarikan di kawasan Broga, Lenggeng.

“Sebelum kejadian, pada pukul 6.30 petang Ahad lalu bertempat di rumah pengadu di Broga, Lenggeng dia dimaklumkan menerima mesej Whatsapp yang meminta sejumlah wang tebusan.

“Bertindak daripada laporan tersebut, pihak polis telah menjalankan operasi khas bagi mengesan dan mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, bagaimanapun lebih kurang 3.30 petang, Selasa lalu Balai Polis Batu 14, Hulu Langat telah menerima panggilan telefon daripada orang awam yang menyatakan menjumpai satu mayat di dalam gaung Bukit Tekali, Hulu Langat di Selangor.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan dan mayat berkenaan telah disahkan mangsa di dalam kes yang sedang disiasat.

“Ini berdasarkan kepada kad pengenalan dan dokumen-dokumen yang ditemui bersama mangsa serta pengecaman oleh ahli keluarga,” katanya.

Jelas beliau, dengan penemuan mayat itu pihak polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan tangkapan seorang suspek lelaki berumur 20an di kawasan Ampang, Selangor.

“Ujian yang air kencing yang dijalankan oleh suspek yang merupakan pekerja swasta adalah negatif.

“Suspek telah ditahan reman selama 15 hari bermula 28 September hingga 12 Oktober depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, mangsa dipercayai mengenali suspek secara dalam talian sejak tiga bulan lalu.

“Pada pertemuan pertama, suspek lelaki meminta untuk meminjam wang daripada mangsa.

“Namun, mangsa enggan memberi pinjam wang dan mahu membunuh mangsa dengan melarikannya dalam insiden penculikan itu,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudian meminta tebusan wang daripada keluarga mangsa dengan mendakwa wanita itu berada dengannnya sebelum mayat mangsa ditemui dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat di Selangor. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI