fbpx

PRU-15 pada Mei 2023 paling sesuai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

TEKA-TEKI mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih menjadi tanda tanya rakyat. Tiada sebarang jawapan kukuh dan pengundi membuat andaian masing-masing menjadi ‘Nujum Pak Belalang’.

Ada yang meneka pada bulan depan selepas pembenta­ngan Bajet 2023, ada yang tidak bersetuju dengan tarikh itu kerana peralihan monsun. Tidak molek kalau mengundi dalam ‘air’.

Melihat situasi itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus membuat keputusan besar yang memberikan situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak jika mahu kekal menawan Putrajaya. Paling penting, dengarlah suara rakyat.

Dalam konteks ini, keputusan pelaksanaan PRU-15 bukan sahaja perlu mengambil kira kea­daan semasa ekonomi dan elemen Perlembagaan, namun turut memberi tumpuan kepada kemahuan rakyat kerana merekalah ‘raja’ pada tarikh keramat itu.

Menurut Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, selain faktor politik, kesejahteraan rakyat juga menjadi asas penting dalam menentukan tarikh PRU-15.

“Jika mahu mengadakan PRU dalam masa sekarang, ia perlu ambil kira tahap kepuasan rak­yat, adakah pengundi berpuas hati dengan pencapaian kerajaan dan menteri. Sekiranya keadaan sebaliknya, mungkin tiada undi untuk mereka.

“Jadi, Perdana Menteri perlu melihat aspek itu secara menyeluruh sebelum memutuskan tarikh pengundian, jika dilewatkan, kerajaan mempunyai lebih masa untuk memperbaiki pencapaian mereka seterusnya kekal menawan hati rakyat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Secara prinsipnya, PRU-15 perlu diadakan sekurang-kurangnya sebelum Julai atau paling lewat September 2023 dan ini memberi terjemahan bahawa kerajaan masih mempunyai masa.

Ketika ditanya mengenai tarikh sesuai meng­adakan PRU-15, Mohd. Azizuddin memberi­tahu, pelaksanaannya pada Mei 2023 dilihat bersesuaian sekali gus membolehkan kerajaan me­ningkatkan prestasi memandang­kan mempunyai le­bihan masa.

“Jika diadakan pada November ini, ia kurang bersesuaian selepas terdapat amaran banjir lagipun rakyat juga tidak bersetuju. Musim peralihan monsun itu dijangka hingga Januari 2023.

“Februari 2023 pula, kita sibuk dengan Sambutan Tahun Baru Cina diikuti Mac sebagai bulan puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada April. Jadi, Mei 2023 mungkin sesuai selepas semua sambutan besar selesai,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, semua keputusan untuk memutuskan tarikh PRU-15 terletak kepada Perdana Menteri dan pastinya Ismail Sabri sudah mempunyai strategi dalam menentukan hari pengundian tersebut.

Jika PRU-15 diadakan pada Mei tahun depan, ia memberi kelebihan kepada barisan Kabinet untuk terus meningkatkan prestasi dan membuktikan kepada rakyat bahawa mereka layak diberi peluang sekali lagi.

Jelasnya, ketika ini, rakyat masih keliru untuk memilih siapa meman­dangkan tiada parti politik yang dilihat menonjol, semuanya se­akan sama. Jadi, kerajaan perlu bekerja keras untuk meraih kembali hati pengundi.

Sebagai pengundi, sudah tentu kami mahu kerajaan mengutamakan kemahuan rakyat terlebih dahulu kerana mereka yang akan memutuskan siapa layak untuk berada di Putrajaya.

Andai rakyat didahulukan, pastinya kerajaan akan menerima manfaatnya pada PRU akan datang. ‘Menang rakyat, menanglah kerajaan’.

POPULAR

BERITA BERKAITAN