fbpx
SYAHIDA mendedahkan mahu ‘bersara’ dan memberi tumpuan penuh pada pelajaran dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics.

Masca sedia bantu ‘ratu kayak’ Syahida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN atlet Terengganu, Syahida Asyiqin Rusli yang berhasrat untuk bersara dalam sukan kayak sejurus menyapu empat pingat emas dan memecah empat rekod kebangsaan mendapat perhatian Persatuan Kanu Malaysia (Masca).

Masca melihat atlet berusia 18 tahun tersebut mempunyai potensi besar dalam sukan tersebut, sekali gus ingin membantu Syahida untuk terus giat dalam sukan berkenaan di samping melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Masca mengakui tindakan Syahida untuk meninggalkan sukan kayak bakal menjadi satu kerugian berikutan atlet kelahiran Terengganu itu amat berbakat.

Syahida sebelum ini mendedahkan dirinya mahu ‘bersara’ dan memberi tumpuan penuh pada pelajaran dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics selepas ini.

Setiausaha Agung Masca, Dr. Jaffry Zakaria menegaskan, pihaknya sedia membantu Syahida dan juga atlet berpotensi lain untuk meneruskan pelajaran serta terus bergiat dalam sukan.

“Kita sudah menghubungi atlet terbabit. Di peringkat persatuan, memang kita akan membantu tetapi bukan hanya dia seorang tetapi ada beberapa atlet negeri lain yang sudah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta perlu menyambung pelajaran dan mereka ini boleh meneruskan latihan.

“Jadi, kita mahu serapkan mereka ini apabila berakhirnya Sukan Malaysia (Sukma), proses latihan masih boleh berjalan. Kita tidak mahu mereka terhenti di situ saja dan satu kerugian kepada kita di peringkat persatuan (kebangsaan) dan negeri,” kata Jaffry.

Sebelum ini, Syahida menjadi tumpuan pada penampilan pertamanya pada Sukma MSN 2022 apabila meraih empat emas, dua perak dan satu gangsa dan turut memecah empat rekod kebangsaan dalam acara K1 1000 meter (m), K1 500m, K1 200m dan K2 200m.

POPULAR