fbpx

Hampir 20,000 gagal dapatkan tempat ke universiti awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Husaini ketika bercakap pada sidang akhbar selepas selesai sesi Taklimat UPU Online di Kementerian Pengajian Tinggi di sini, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Hampir 20,000 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setara gagal mendapatkan tawaran kali pertama ke universiti awam (UA) bagi sesi akademik 2022/2023 selepas keputusan kelayakan diumumkan pada 25 September lalu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar berkata, sebanyak 151,477 permohonan telah diterima menerusi laman web UPU Online tahun ini dan daripada jumlah itu 90,745 merupakan mereka yang layak serta melepasi syarat am ditetapkan pihak UA.

“Unjuran rasmi atau kapasiti di 20 UA di seluruh negara adalah sebanyak 71,615 yang terdiri daripada 48,665 lepasan STPM; 2,974 lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 19,976 lepasan diploma atau setara.

“Berdasarkan data ini, jelas menunjukkan kekosongan di UA adalah terhad, dan sekarang ni berlaku persaingan yang sengit untuk mendapatkan tempat,” katanya pada sidang akhbar selepas Taklimat UPU Online di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, daripada keseluruhan permohonan yang diterima, sebanyak 19,130 pemohon gagal mendapatkan tempat ke UA susulan beberapa faktor bagaimanapun mereka masih boleh membuat rayuan.

Menurut Husaini, beberapa faktor yang menyumbang kepada kegagalan mendapatkan tawaran kemasukan ke UA adalah tidak memenuhi syarat khas program pengajian, gagal dalam saringan temuduga atau ujian dan kedudukan merit yang rendah.

“Turut menyumbang kepada kegagalan itu adalah berikutan tiada kekosongan tempat terutamanya apabila pemohon memohon program yang merupakan program kompetetif.

“Terdapat 10 program yang diklasifikasikan sebagai program pengajian kompetetif antaranya perubatan, pergigian, farmasi, perakaunan, undang-undang dan beberapa lagi program kejuruteraan,” ujar beliau.

Husaini berkata, bagi program perakaunan, unjuran rasmi adalah sebanyak 1,441 namun permohonan yang diterima adalah 5,048 dengan 4,258 daripadanya adalah pemohon yang layak.

“Begitu juga untuk program perubatan apabila kekosongan hanya 680 namun, permohonan yang diterima adalah sebanyak 1,931 dengan 1,841 daripadanya merupakan pemohon yang layak.

“Bagaimanapun, mereka yang gagal mendapatkan tempat ini masih berpeluang untuk membuat rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan permohonan kemasukan diumumkan,” jelas beliau.

Katanya, untuk rayuan hanya empat pilihan sahaja yang dibenarkan untuk dipohon dan rayuan ke Kolej Komuniti serta Institusi Latihan Kemahiran Awam perlu dibuat melalui institusi tersebut dan bukannya melalui UPU Online.

“Hanya rayuan ke UA serta politeknik sahaja dibuat menerusi UPU Online dan sekiranya tidak berjaya, pemohon boleh mengemukakan rayuan melalui ambilan sendiri institusi atau agensi berdasarkan iklan yang dikeluarkan,” katanya.

Tambah Husaini, pihak KPT juga akan mempertimbangkan untuk menyertakan sebab pemohon gagal dalam sistem UPU Online akan datang berbanding ketika ini hanya menyatakan calon berjaya atau gagal.

Langkah itu, ujar beliau dapat memberikan maklumat awal kepada pemohon berhubung punca kegagalan untuk mendapat tawaran sehingga memberi persepsi negatif terhadap sistem UPU Online itu sendiri.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI