fbpx
Iklan lesen terbang yang menggunakan gambar Perdana Menteri.

Jangan terperdaya iklan lesen terbang salah guna gambar Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sindiket ‘lesen terbang’ semakin berani apabila dikesan menggunakan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam iklan mereka bagi mempengaruhi orang ramai.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi kenyataan akhbar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan iklan palsu berkenaan selepas ia tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, iklan bertajuk ‘Bantuan Lesen Memandu Percuma Buat Semua Golongan’ itu dikatakan telah menyalahgunakan gambar Perdana Menteri.

“Bagi meyakinkan orang ramai, sindiket turut meletakkan pautan pendaftaraan https://www.motif.my/bantuan-lesen/ dan turut dipelawa menyertai ‘grup whatsApp’ di pautan https://www.portalmalaysia.com/whatsappgroupbantuan, untuk memperdaya lebih ramai mangsa,” katanya.

JPJ berkata, iklan tersebut adalah palsu dan mereka memandang serius sindiket lesen terbang itu selain memaklumkan bahawa siasatan lanjut akan dilakukan segera bagi mengesan dalangnya.

“Kami juga akan membuat laporan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) supaya siasatan lanjut boleh dilakukan.

“Kami ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh, serta menghubungi pejabat JPJ berdekatan bagi mendapatkan maklumat lebih tepat dan sahih,” katanya.-KOSMO! ONLINE

POPULAR