fbpx
Tindakan terburu-buru dalam mengambil keputusan mengenai GEG akan memberi kesan negatif daripada aspek sosial ekonomi. -Gambar hiasan

Jangan lulus GEG dengan kadar tergesa-gesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kerajaan harus berhati-hati dalam meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok (RUU) berhubung cadangan Dasar Penamat Generasi (GEG) kerana ia boleh memberi impak ke atas sosio ekonomi yang tidak diingini terutamanya berkaitan dengan pasaran gelap yang mencatat kes yang tinggi di Malaysia.

CMTM yang diwakili oleh British American Tobacco (Malaysia) Bhd, JT International Berhad dan Philip Morris (Malaysia) Sdn. Bhd. berpendapat, kerajaan tidak perlu meluluskan cadangan GEG secara tergesa-gesa kerana semua pihak yang terbabit dalam isu tersebut memiliki masa yang mencukupi iaitu selama  dua tahun untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, gabungan syarikat itu melahirkan perasaan mereka yang terlalu bimbang tentang RUU itu jika dibentang semula pada sesi Parlimen akan datang tanpa melakukan sebarang rundingan dengan pelbagai pihak berkaitan.

“CMTM percaya bahawa ahli baharu PSSC harus diberi peluang berunding secara bersemuka dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi mendapatkan perspektif baharu dan menyumbang kepada proses penggubalan undang-undang secara holistik.

“Isu mengenai perlembagaan, kuasa penguatkuasaan yang luas, penalti yang tinggi, hak pengguna dan mekanisme pelaksanaan GEG masih belum ditangani lagi,” jelasnya.

Gambar hiasan

Selain itu, kenyataan CMTM menjelaskan, berhubung cadangan GEG New Zealand, ia sedang menjalani proses rundingan untuk tempoh enam bulan lagi sebagai sebahagian daripada laluannya melalui Parlimen New Zealand.

Tempoh ini amat berbeza dengan perkara yang telah berlaku di Malaysia yang mana tempoh singkat selama dua bulan diberikan  kepada PSSC untuk perbincangan dalaman dan tanpa penglibatan sebarang pihak berkepentingan atau perundingan awam.

“Kami menggesa kerajaan untuk memastikan perundingan akan datang yang diadakan oleh PSSC baharu dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lain turut melibatkan pihak lain  seperti Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kebebasan Asas dan Hak Perlembagaan dan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Perdagangan Dalam Negeri. 

“Isu-isu asas dalam Rang Undang-Undang itu tidak boleh diketepikan dan memihak kepada pihak yang tergesa-gesa mahu meluluskannya dalam sidang Parlimen akan datang.

“Konsensus pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan Rang Undang-undang itu berperlembagaan, boleh dilaksanakan, boleh dikuatkuasakan dan akan mencapai hasil kesihatan yang diharapkan tanpa menyebabkan sebarang impak lain yang yang tidak diingini,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

 

POPULAR