fbpx

Iktiraf j-Qaf masuk sekolah agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TEMERLOH – Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan ne­geri wajar berbincang bagi mencari mekanisme dan jalan penyelesaian supaya murid sekolah rendah tidak terus dibebankan dengan jadual pembelajaran yang terlampau padat.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Jasni Md. Kechik berkata, isu murid penat dan terbeban dengan tugasan di sekolah rendah dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) adalah masalah yang tiada berkesudahan sejak dahulu.

Menurutnya, meskipun KAFA bukan program yang diwajibkan KPM, namun ibu bapa dalam dilema memandangkan hanya Sijil Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) dikira merit untuk kemasukan ke sekolah menengah agama.

“Sepatutnya perkara itu tidak berlaku memandangkan sijil program pembelajaran jawi al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-Qaf) berasaskan kepada Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sudah mencukupi sebagai kelayakan ke aliran agama.

“PBS subjek Pendidikan Islam boleh diguna pakai untuk nilai tambah kemasukan ke sekolah menengah aliran agama,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Ujarnya, subjek pembelajaran di sekolah rendah dan KAFA adalah lebih kurang sama dan ia seharusnya diselesaikan sehingga pukul 2 petang bagi memboleh­kan anak-anak ada waktu rehat dan menjalani kehidupan normal dengan rakan sebaya.

“Tanpa menafikan kepen­tingan pendidikan agama Islam sebagai teras kehidupan, tetapi harus difikirkan bagaimana cara ia diajar kepada anak-anak untuk menguasainya,” ujarnya.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Agama Malaysia Barat, Muhd. Fadhli Jusoh berkata, pendidikan Islam termasuk KAFA merupakan sistem pendidikan sekolah rendah yang bertujuan memberikan pendidikan agama kepada generasi baharu.

Katanya, kebanyakan pelajaran agama di sekolah adalah ­berasaskan teori dan sepatutnya apabila ke KAFA, kanak-kanak akan didedahkan pula kepada amali seperti bacaan al-Quran dan sebagainya.

“Apa-apa keputusan untuk mengubah termasuk bagi memendekkan waktu belajar KAFA perlu mendapat pandangan daripada pakar,” ujarnya.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan, rata-rata murid sekolah rendah seawal usia tujuh tahun terpaksa bangun seawal pukul 6 pagi untuk bersiap-siap ke sekolah sebelum pulang ke rumah pada pukul 1 tengah hari dan kembali semula ke KAFA pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang.

Pada sebelah malam pula, mereka menyambung mengaji al-Quran dan kemudian terpaksa terkial-kial menyiapkan kerja sekolah sehingga ada antaranya sehingga larut malam.

Berita berkaitan: Jadual padat, anak-anak tidur cuma lima jam sehari

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI