fbpx
SELAIN hilang fokus dalam pelajaran, pelajar mula meminta untuk tidak ke sekolah kerana terlalu penat. – gambar hiasan

Jadual padat, anak-anak tidur cuma lima jam sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Ibu bapa me­ngakui jadual pembelajaran yang terlampau padat dan ke­sibukan menghadiri pelbagai akti­viti persekolahan menyebabkan para pelajar hilang fokus untuk mengulang kaji pelajaran selain kurang masa berehat.

Rutin harian yang bermula pukul 6 pagi itu hanya berakhir pukul 12 tengah malam selepas pelajar berkenaan turut mengikuti kelas tambahan dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah.

Seorang ibu, Aina Rashid, 38, berkata, dia bimbang melihat keadaan dua anaknya yang bersekolah di tahun tiga dan enam apabila masa rehat menjadi semakin terhad kecuali hari Ahad.

Menurutnya, kesibukan me­ngikuti jadual persekolahan yang padat selain menyertai pelbagai aktiviti wajib sekolah menyebabkan anak-anaknya menjadi terlalu penat.

“Mereka memulakan rutin harian seawal pukul 6 dan 7.30 pagi sebelum ke kelas agama sehingga pukul 5.30 petang.

“Pada sebelah malam, dua anak saya akan ke kelas tuisyen dan kelas mengaji al-Quran dari pukul 8 sehingga pukul 10 malam.

PARA pelajar memulakan rutin harian seawal pukul 6 pagi dan berakhir pukul 12 tengah malam. – Gambar hiasan

“Selepas itu, masing-masing perlu menyiapkan kerja sekolah dan purata waktu tidur mereka cuma lima jam sahaja,” luahnya.

Berita berkaitan: Murid penat ke sekolah, bermain pun tak sempat

Berita berkaitan: Tekanan belajar antara punca risiko ragut nyawa sendiri

Luahan sama disuarakan Sharifah Mirza Abdullah, 37, yang memberitahu, anaknya yang berusia 10 tahun hilang tumpuan untuk belajar selain tidak bersemangat untuk ke sekolah.

“Dia kadang-kadang merengek kepenatan kerana harus ke sekolah agama selepas selesai sesi persekolahannya pukul 12.30 tengah hari.

“Anak hanya berehat selama dua jam kerana sekolah agama bermula pukul 2.30 petang dan berakhir 4.30 petang,” ujarnya.

Bagi Muhammad Hassan Muhammad Firdaus, 35, dia terpaksa melayan keletah anak sulungnya berusia 9 tahun, yang kerap kali mahu ponteng sekolah agama.

“Memang selalu kena pujuk dengan pancing dia belanja makan di restoran makanan segera. Tapi apa yang boleh saya buat kerana nak pastikan dia tahu ilmu keduniaan dan agama, yang mana kedua-duanya penting,” kata jurutera itu.

Sementara itu, Azlianah Kamaruddin, 40, berkata, selain tekanan psikologi dihadapi pelajar, ibu bapa juga berdepan tanggungan besar apabila perlu membayar upah pengangkutan selain kos transit bagi kedua-dua anaknya.

Katanya, telah tiba masa untuk pihak kerajaan mengadakan sekolah satu sesi atau menyusun mata pelajaran agar lebih tersusun selain tidak menyebabkan pelajar ketinggalan mana-mana mata pelajaran penting.

Gambar hiasan

Sementara itu seorang penjaga di Felda Kota Gelanggi 4, Jerantut Nor Azam Mohamed, 31, berkata, kementerian boleh mengurangkan mata pelajaran di sekolah rendah antaranya mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Kemahiran Hidup.

Katanya, kedua-dua subjek berkenaan dianggap membebankan fikiran murid sepatutnya boleh diajarkan di peringkat sekolah menengah.

“Saya juga mencadangkan pihak berwajib mengadakan kelas Kafa memilih satu hari waktu cuti hujung minggu atau pelaksanaan kelas ini cuma tiga kali seminggu di sam­ping me­ngurangkan beban kerja sekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, di Sungai Petani, Kedah, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pihaknya membuat kajian berhubung ja­dual pembelajaran harian di sekolah yang dikatakan terlampau padat sehingga menyebabkan murid berasa penat, stres dan hilang keseronokan belajar.

“Terlalu banyak kajian yang dibuat membabitkan murid-murid serta sistem pembelajaran dan persekolahan di negara kita selama ini.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga keseluruhan sistem persekolahan, kita perlu melakukan penelitian mendalam sebelum dapat mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kajian yang dibuat itu,” katanya.

Kosmo! melaporkan rata-rata murid sekolah rendah terus dibebani dengan jadual pembelajaran harian yang terlampau padat melebihi 12 jam sehari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN