KUANTAN – Rata-rata murid sekolah rendah seawal usia tujuh tahun masih terus dibebani dengan jadual pembelajaran harian yang terlampau padat melebihi 12 jam sehari sehingga mereka berasa penat, stres dan hilang keseronokan untuk belajar.
Mereka telah diasak bertubi-tubi dan seolah-olah dipaksa untuk terus belajar sepanjang hari supaya menjadi pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.
Pakar Pendidikan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad mengakui bebanan yang diberikan kepada murid sekolah rendah yang berterusan belajar menyebabkan mereka penat.
“Sebab itu anak-anak kita kebanyakannya tidak berasa seronok untuk belajar, mereka berasa penat, hendak pergi sekolah pun tidak seronok. Cikgu pula mahu habiskan mata pelajaran yang diajarnya, setiap cikgu tekan budak yang sama.
“Kehidupan kanak-kanak ini, ada masanya dia mahu main juga. Kita mungkin lihat seolah-olah main itu biasa, tetapi tidak untuk anak-anak kerana bermain ini satu benda yang perlukan bersama kawan-kawan sebab mereka sedang membesar,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ketika ini, rata-rata murid sekolah rendah terpaksa bangun seawal pukul 6 pagi untuk bersiap-siap ke sekolah sebelum pulang ke rumah pada pukul 1 tengah hari dan kembali semula ke Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang.
Pada sebelah malam pula, mereka sambung mengaji muqaddam atau al-Quran dan kemudian terpaksa menyiapkan kerja sekolah sehingga ada yang sampai larut malam.
Dalam menyelesaikan isu tersebut, Dr. Anuar mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menyepadukan atau menyelaraskan antara sistem pendidikan di sekolah dengan KAFA.
Katanya, jika semua kurikulum dapat disepadukan di sekolah bersama pendidikan Islam seperti KAFA, bukan sahaja pembelajaran dapat dilakukan dengan baik, malah mengurangkan beban kanak-kanak yang akan mempunyai lebih masa untuk beriadah atau bermain.
“Dari dahulu lagi amalan ini sepatutnya kita sepadukan, kita tak perlu ada banyak program. Sepatutnya sekolah cover semuanya, tetapi sebab ia dibuat secara tidak bersepadu, yang jadi mangsa adalah anak-anak, penatlah mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah dan Pakar Psikiatri Unit Bimbingan Kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Dr. Norzila Zakaria berkata, zaman kanak-kanak adalah penting dalam membentuk psikologi seseorang individu.
Katanya, tekanan dan bebanan yang dihadapi kanak-kanak boleh membentuk peribadi mereka pada masa akan datang.
Justeru katanya, kanak-kanak tidak perlu terus diberi bebanan dan mereka juga perlu untuk masa bermain.














