fbpx
gambar hiasan.

Tekanan belajar antara punca risiko ragut nyawa sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Pelajar sekolah dikenal pasti antara golongan berisiko terlibat dalam kejadian bunuh diri yang dilihat sebagai insiden membimbangkan pada masa ini.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus memberitahu, tekanan belajar serta isu buli menjadi antara punca kepada risiko banyak kejadian bunuh diri melibatkan pelajar sekolah.

“Tekanan untuk menjadi pelajar cemerlang dengan mempe­roleh markah cemerlang seperti gred A yang banyak juga merupakan satu bentuk stres kepada mereka.

“Sekiranya ia tidak dibendung awal, mungkin berlaku kejadian bunuh diri,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, tekanan yang dihadapi golongan pelajar itu perlu diberi perhatian dan ditangani segera bagi mengelakkan sebarang tragedi yang melibatkan pelajar terbabit.

Selain itu, katanya, semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan rakan-rakan perlu memainkan peranan bagi membantu pelajar yang mengalami tekanan.

“Jadi di sinilah peranan mereka yang rapat dengan kita sama ada keluarga, guru atau kawan sendiri supaya mereka boleh meluahkan perasaan. Kalau di sekolah ada kaunselor dan di rumah pula ada ibu bapa.

“Kalau nampak pelajar di sekolah kelihatan murung, ada tanda-tanda tekanan dan segera dekati mereka supaya kita boleh bendung berlakunya kejadian bunuh diri.

“Begitu juga dalam keluarga, kalau ada nampak individu tidak mahu makan, murung dan sebagainya, peranan ibu bapa sangat penting untuk dekati mereka dan mencari apa masalah mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, kejadian bunuh diri ketika ini amat membimbangkan kerana berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terdapat lebih 3,000 kematian akibat bunuh diri setahun dan pada 2019 sahaja merekodkan satu kejadian bunuh diri dalam setiap 100 kematian.

Katanya, faktor bunuh diri bukan sahaja disebabkan penyakit psikiatrik, tetapi banyak faktor lain seperti masalah buli, kewa­ngan, sosial, kekeluargaan dan sebagainya.

“Mungkin kita nampak bunuh diri (memberi kesan) kepada seorang individu sahaja, tetapi kita lupa impak bunuh diri tersebut bukan sahaja berlaku kepada orang yang bunuh diri, malah kepada mereka yang akrab dengan mangsa seperti keluarga, pasa­ngan suami isteri dan anak anak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN