fbpx

Aktiviti haram ancam pembiakan ikan di perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CAP bimbang aktiviti tangkapan ikan secara haram yang berleluasa akan mengancam pembiakan ikan di perairan negara.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah aktiviti tangkapan ikan secara haram yang mengancam pembiakan ikan di perairan negara ini.

Presiden CAP, Mohideen Abd Kader berkata, masalah yang sudah lama berlaku itu bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan pantai tetapi juga menyebabkan sumber perikanan mengalami kepupusan pada masa akan datang.

Menurutnya, tinjauan pihak CAP mendapati, selain pukat tunda yang menjadi ancaman kepada pembiakan ikan di perairan negara sejak lebih 40 tahun yang lalu, penggunaan pukat rawa sorong, pukat apollo, pukat siput dan bubu naga juga semakin berleluasa ketika ini.

“Sejak 1980-an, CAP telah menyuarakan bantahan dan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan mengenai perkara ini termasuk menguatkuasakan undang-undang dengan tegas dan mengharamkan penggunaan pukat tunda bagi mengawal sumber perikanan daripada terus diancam kepupusan.

“CAP menggesa MAFI, Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan yang semakin meruncing berlaku dalam sektor perikanan ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beritahu beliau, sebagai contoh di Sabah, penggunaan bahan letupan atau bom dalam kalangan nelayan dan penangkap ikan di sini juga telah menyumbang kepada peningkatan kemusnahan benih ikan dan kerosakan batu karang di perairan negeri berkenaan.

“Di Pantai Timur pula, pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam yang berterusan sejak sekian lama menyebabkan negara ini mengalami kerugian RM4.25 bilion setiap tahun kerana hasil laut dirompak oleh nelayan bot pukat tunda dari negara itu.

“Setiap hari beribu tan benih hidupan laut berbagai spesies musnah akibat penggunaan peralatan tersebut. Sebuah bot pukat tunda misalnya memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan (benih) yang tidak boleh dimakan dan dipasarkan,” katanya.

Tambahnya, di samping menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan, gesaan CAP serta nelayan pantai sebelum ini supaya penggunaan pukat tunda diharamkan perlu diberi perhatian serius dan disegerakan.

“Beberapa buah negara seperti Hong Kong, Indonesia, Palau, Belize dan Jepun telah mengharamkan penggunaan pukat tunda di negara mereka.

“CAP menyokong keputusan negara-negara tersebut dan tindakan tegas kerajaan Indonesia membakar serta memusnahkan bot pukat tunda yang menceroboh perairan negara itu.

“Langkah sedemikian wajar diikuti oleh kerajaan Malaysia bagi mengawal dan menjamin sumber bekalan makanan yang mencukupi pada masa akan datang,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI