fbpx

Ribuan mangsa banjir akan berpindah ke ‘bandar khemah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak menghadiri kelas di sebuah ‘sekolah khemah’ di Hyderabad, wilayah Sindh pada 21 September 2022. – AFP

ISLAMABAD – Beribu-ribu mangsa banjir  di wilayah Sindh akan dipindahkan ke sebuah ‘bandar khemah’ di Karachi minggu ini, kata beberapa pegawai kelmarin, selepas bencana itu menenggelamkan satu pertiga daripada Pakistan dan meragut lebih 1,600 nyawa.

Hujan lebat dan glasier cair di kawasan pergunungan  utara Pakistan menyebabkan banjir kilat menghanyutkan banyak kediaman, infrastruktur utama, haiwan ternakan serta tanaman. Malapetaka itu turut menjejaskan 33 juta daripada 220 juta penduduk Pakistan sejak pertengahan Jun lalu.

Dengan hampir 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal di wilayah Sindh, kerajaan tempatan terpaksa menggunakan sekolah-sekolah awam sebagai pusat perlindungan sementara, manakala  di Karachi sahaja, beribu-ribu orang berlindung di 30 buah sekolah di bandar raya itu.

Pegawai-pegawai tempatan kini bersiap sedia untuk memindahkan mangsa banjir ke sebuah fasiliti  sementara di pinggir bandar Malir iaitu daerah pentadbiran di timur Karachi. Penempatan semula mangsa banjir itu dijangka bermula minggu ini.

“Kira-kira 7,000 orang yang berlindung di kem-kem bantuan kami akan dipindahkan dan sekolah-sekolah akan dikosongkan,” kata Timbalan Komisioner  Daerah Timur Karachi, Raja Tariq Chandio.

Sementara itu, Timbalan Komisioner Malir, Irfan Salam memberitahu Arab News bahawa penempatan sementara itu akan terdiri daripada kira-kira 1,300 buah khemah. 

Syarikat pembekal tenaga tunggal di bandar itu, K-Electric pula akan menyediakan talian penghantaran kuasa untuk membekalkan elektrik ke kem tersebut.

“Di ‘bandar khemah’ itu, mangsa-mangsa banjir akan mempunyai bekalan air minuman bersih dan makanan yang dimasak. Ia turut menyediakan 20 tandas dan sebuah hospital yang lengkap dengan doktor serta paramedik lelaki serta wanita.

“K-Electric akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari untuk membina rangkaian talian penghantaran kuasa sebelum mangsa banjir dipindahkan ke bandar khemah itu,” kata Irfan.

Selain itu, sebuah organisasi kebajikan akan menyediakan makanan kepada penduduk yang dipindahkan ke Malir, manakala kanak-kanak berpeluang untuk kembali belajar dengan menghadiri kelas-kelas anjuran Yayasan Pendidikan Sindh. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI