fbpx

Masih ramai pilih rancang keluarga secara semula jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Shukur semasa merasmikan Forum Take Control hari ini

KUALA LUMPUR – Kesedaran mengenai pemilihan kaedah merancang keluarga secara moden di negara ini masih rendah apabila tidak menunjukkan perubahan sejak 30 tahun lalu iaitu pada kadar 52.5 peratus.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur berkata, kadar prevalens kontraseptif di negara ini juga adalah terendah berbanding negara-negara Asia lain.

Katanya, daripada jumlah itu, 34.3 peratus mengamalkan kaedah moden manakala 17.9 peratus mengamalkan kaedah tradisional.

“Justeru itu, program advokasi pendidikan dan promosi perkhidmatan perancang keluarga sentiasa diperkasakan dan menggesa lebih banyak badan-badan korporat bidang kesihatan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut bersama-sama menjayakan usaha ini.

“Pada masa sama, usaha promosi dan advokasi turut terkandung dalam Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) ketiga iaitu memastikan kehidupan yang sihat dan mempromosikan kesihatan kepada semua tidak kira umur dan matlamat kelima iaitu kesaksamaan gender serta pengukuhan kepada semua wanita tercapai menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Forum Take Control 2022 anjuran bersama Eurodrug Laboratories Malaysia dan CARiNG Pharmarcy di sini hari ini.

Sementara itu katanya, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu: Perancangan Keluarga Dunia (2017), terdapat pelbagai cabaran dalam penyampaian Perkhidmatan Perancang Keluarga di seluruh dunia.

“Antara sebab wanita tidak mengamalkan kaedah perancang keluarga adalah kerana mereka bercadang untuk berkahwin (31.5 peratus), kerisauan terhadap kesan sampingan perancang keluarga (16.4 peratus), tidak berminat (13.7 peratus), tidak selesa (12.0 peratus), mengamalkan kaedah abstinen (2.9 peratus) dan ketidakizinan atau bantahan pasangan (2.1 peratus).

“Perancang keluarga juga sering disalah ertikan oleh sebilangan orang di luar sana apabila ada yang masih beranggapan bahawa perancang keluarga adalah untuk tidak memiliki anak, sedangkan ia lebih bersifat holistik yang merangkumi semua aspek kesihatan termasuk kesejahteraan ibu, anak dan keluarga,” ujarnya.

Justeru itu katanya, beliau berharap dengan pelaksanaan program itu serta pendedahan maklumat yang betul, ia dapat membantu khususnya kaum wanita untuk membuat pilihan bijak dalam hal kesihatan reproduktif dan seksual mereka.

Terdahulu, Forum Take Control turut membariskan empat orang panel iaitu Pakar Perunding O&G, Pengasas dan Pengarah Akademi Dr. Har, Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj, Pegawai Perubatan, LPPKN, Dr. Wan Hilya Munira Mustapha dan Ahli Farmasi CARiNG Pharmacy Fatin Zafira Mohd Yassim, dan selebriti jemputan, Ummi Nazeera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI