fbpx

Erry Hidayat bimbang impian ke Paris 2024 mungkin berkecai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERRY khuatir Malaysia dihalang oleh IWF daripada menyertai mana-mana pertandingan jika digantung gara-gara kes doping pada Sukma MSN 2022 baru-baru ini.

ATLET angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat bimbang impiannya untuk beraksi di ­Olimpik Paris 2024 mungkin berkecai berikutan kes ­doping yang mencemarkan Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini.

Isnin lalu, tiga atlet angkat berat, dua dari Terengganu dan seorang dari Perlis diuji positif, menyebabkan acara itu ditunda sehari kepada 20 September 2022 berbanding jadual asal 19 September.

Erry yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham menerusi acara 73 kilogram (kg) bimbang, jika Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menerima hukuman lara­ngan antarabangsa, ia sekali gus menutup ruang ke Paris 2024 kelak.

“Setiap atlet angkat berat ­ingin ke Sukan Olimpik, bahkan dapat layak sertai temasya empat tahun sekali itu pun sudah satu pencapaian amat besar.

“Saya tidak tahu sama ada Malaysia akan dikenakan tindakan digantung selama setahun atau tidak ekoran doping baru-baru ini.

“Jika digantung selama setahun, mungkin kami semua tidak akan ke Paris.

“Jadi, musnah ­pengorbanan kami selama ini. Jika perkara itu berlaku, mungkin saya akan beri tumpuan untuk melanjutkan pelajaran semula,” katanya yang membantu Wilayah Persekutuan meraih emas dalam acara 81kg.

Sebelum ini, Persekutuan ­Angkat Berat Antarabangsa (IWF) melarang atlet angkat berat negara sertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 ekoran mencatat jumlah kes doping yang banyak.

Disebabkan itu, IWF menghalang Malaysia daripada bertanding dalam mana-mana acara yang dibenarkan mereka untuk tempoh lima bulan pada 2020 serta daripada bertanding pada Sukan Olimpik Tokyo.

Penggantungan lebih pendek lima bulan yang dikenakan oleh IWF itu diputuskan selepas mengambil kira penggantungan sukarela selama 12 bulan dikenakan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) terhadap atletnya pada 2018.

Disebabkan bimbang penggantungan berlaku sekali lagi, PABM memutuskan menghalang negeri-negeri yang gagal dalam ujian ­doping bertanding pada Sukma 2022.

Keputusan itu bagaimanapun mendapat bantahan, sekali gus membenarkan skuad Terengganu dan Perlis ­bertanding.

PABM yang kecewa ­dengan keputusan tersebut kemudian menarik diri daripada mengendalikan temasya ber­kenaan.

Ia termasuk melarang pembabitan pegawai teknikal daripada ­mengendalikan acara angkat berat edisi ke-20 itu.

Ketiadaan PABM menyebabkan rekod kebangsaan yang dicatat pada Sukma 2022 ber­kenaan tidak diiktiraf.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI