fbpx
MAGUIRE (kanan) gagal memainkan peranan sebagai pemain pertahanan selepas dua kesilapan dilakukan membolehkan Jerman mendapatkan dua gol. – AFP

England membara menuju Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON –Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate berharap barisan pemainnya menjadikan tekanan yang dihadapi ketika ini sebagai pembakar semangat menjelang saingan Piala Dunia 2022 di Qatar November depan.

Pada aksi Kumpulan A3 Liga Negara-Negara Eropah menentang Jerman di Wembley yang berlangsung awal pagi semalam, The Three Lions bangkit daripada ketinggalan dua gol bagi menca­tat keputusan seri 3-3.

Meskipun bangkit, namun pemilihan pemain pertahanan, Harry Maguire dalam kesebelasan utama memakan diri Southgate apabila kapten Manchester United itu melakukan dua kesilapan yang menyebabkan gawang England dibolosi.

“Walaupun tidak dapat mencatat kemenangan, namun pe­ngalaman yang diperoleh adalah perkara paling penting untuk semua pemain. Inilah tekanan yang akan dihadapi oleh pasukan.

“Semua pasukan mahu mengelak daripada berdepan tekanan tinggi, tetapi ia tetap datang, lebih-lebih lagi pasukan yang memiliki reputasi besar,” kata Southgate yang diejek penyokong ketika tewas 0-1 kepada Itali sebelum ini.

Pada perlawanan tersebut, Jerman menjaringkan gol menerusi Ilkay Gundogan serta dua jaringan Kai Havertz, manakala tiga gol England dijaringkan Luke Shaw, Mason Mount serta Harry Kane.

“Adalah lebih baik kami merasakan tekanan ini lebih awal dan melihat reaksi pemain-pemain selepas ketinggalan. Kami bukan sahaja menunjukkan karakter masing-masing, malah kualiti permainan yang baik,” tambah Southgate. – AGENSI

POPULAR