fbpx

AS, Korea Selatan mulakan latihan tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 2015 menunjukkan kapal tentera laut Korea Selatan menembak peluru berpandu antikapal semasa latihan tentera di pantai timur negara itu. - AFP

SEOUL – Korea Selatan dan Amerika Syarikat(AS) memulakan latihan tentera laut  bersama  dekat Semenanjung Korea kelmarin sekali gus  yang pertama seumpamanya dalam tempoh lima tahun.

Latihan tentera itu mengundang amaran Korea Utara bahawa dua negara sekutu itu berisiko mencetuskan perang.

Presiden Korea Selatan,  Yoon Suk-yeol yang berkuasa pada Mei lalu berikrar akan meningkatkan latihan ketenteraan bersama dengan AS, selepas usaha diplomasi selama bertahun-tahun oleh beberapa Presiden terdahulu gagal.

“Latihan tentera ini bertujuan untuk menunjukkan keazaman kuat pakatan Korea Selatan-AS dalam bertindak balas terhadap provokasi daripada Korea Utara,” kata tentera laut Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu,  semasa  berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Duta Korea Utara, Kim Song berkata,  latihan tentera itu menimbulkan “kebimbangan yang serius.”

“Jelas sekali, ini adalah tindakan yang sangat berbahaya kerana memacu keadaan di Semenanjung Korea ke ambang peperangan,” katanya kepada Perhimpunan Agung PBB.

Latihan tentera itu berlangsung  sehari selepas Pyongyang melakukan satu lagi pelancaran peluru berpandu balistik, yang terbaru dalam ujian senjatanya pada tahun ini.

Awal bulan ini, Utara menyemak semula undang-undang senjata nuklearnya, mengabadikan doktrin “serangan pertama” dan berikrar tidak akan melepaskan nuklearnya.

Song memberitahu PBB bahawa AS ‘memaksa’ Korea Utara bertindak.

“AS harus memahami dengan jelas bahawa dasar keji dan bermusuhannya terhadap Korea Utara sejak 30 tahun lalu telah membawa kepada realiti hari ini dan bertanya kepada diri sendiri dan merenung sejauh mana ia akan membiarkan situasi ini berlarutan,” katanya.

Washington mempunyai pakatan ketenteraan dengan Seoul dan menempatkan kira-kira 28,500 anggota tenteranya  bagi melindungi di Korea Selatan daripada Korea Utara.

Latihan empat hari di pantai timur Korea Selatan itu akan melibatkan lebih daripada 20 kapal perang dan kapal tentera lain serta pelbagai jenis pesawat. Kesemua aset ketenteraan itu akan melakukan latihan operasi antikapal dan antikapal selam, gerakan taktikal serta operasi maritim lain. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI