fbpx

UPSI sedia ruang bacaan di dua klinik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEGINILAH keadaan sudut bacaan yang menempatkan pelbagai jenis buku untuk bacaan pelawat di Kiinik Kesihatan Slim River.

DALAM usaha memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil satu langkah proaktif.

PTB dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menyediakan ruang khas untuk sudut bacaan di Klinik Kesihatan Tanjung Malim dan Klinik Kesihatan Slim River, Perak.

Penyediaan ruang-ruang ini merupakan projek rintis khidmat sosial UPSI bertujuan untuk memupuk budaya membaca kepada pengunjung yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.

Buku-buku berkenaan boleh dibaca oleh para pesakit ketika menunggu giliran, mahupun ahli keluarga yang menemani mereka sewaktu menanti bagi mendapatkan rawatan.

Pegawai Kesihatan Daerah Muallim, Dr. V.C Anuratha Subramaniam berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan khidmat sosial daripada pusat pengajian terulung di daerah tersebut.

“Kami warga klinik sekitar daerah ini amat teruja apabila menerima beraneka bahan bacaan terkini daripada pihak PTB, UPSI.

“Ia juga merangkumi hiasan reka letak dengan dekorasi cantik, sekali gus dapat menarik minat membaca dalam kalangan pengunjung,” katanya baru-baru ini.

WAKIL UPSI dan kakitangan Klinik Kesihatan Slim River bergambar di sudut bacaan yang disediakan di klinik berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan PTB, Wan Kartini Wan Sulaiman memberitahu, pihaknya mengambil masa tiga hari dengan kekuatan 10 orang staf bagi penyediaan ruang bacaan tersebut.

Ujarnya, pihaknya memilih untuk menempatkan sudut bacaan di ruang legar yang terletak berhampiran tempat menunggu di klinik kesihatan terbabit.

“Kami amat berbesar hati untuk menyerahkan sebanyak 5,300 naskhah buku beraneka genre seperti cerpen, motivasi dan keagamaan kepada kedua-dua klinik itu. Ia dianggarkan bernilai lebih daripada RM4,500.

“Buku-buku ini merupakan sumbangan daripada agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Serambi Ilmu Rakyat (Bank Rakyat) serta sumbangan orang awam selain perbelanjaan UPSI sendiri,” jelasnya.

Wan Kartini menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengembangkan lagi projek rintis tersebut di lebih banyak kawasan tumpuan dan premis-premis sekitar daerah itu pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md Taff berkata, UPSI akan terus mencari ruang untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Katanya, usaha tersebut diharap dapat membantu memperkasakan lagi modal insan tempatan seiring dengan slogan UPSI, ‘universiti untuk masyarakat’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI