fbpx

PAC mulakan prosiding perolehan OPV APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding berhubung Perolehan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, PAC berpendapat kerajaan iaitu APMM dan KDN perlu memberikan penjelasan kepada Parlimen melalui PAC bagi memastikan rakyat mengetahui sebab
sebenar kelewatan itu berlaku.

“Maka, adalah amat wajar untuk PAC mengadakan prosiding berhubung isu ini selaras dengan punca kuasa jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Selain itu, PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 Organisasi-organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri dalam mengendalikan prosiding ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kah Woh berkata, PAC akan memanggil KDN dan APMM bagi memberikan penjelasan serta Kementerian Kewangan (MOF) selain syarikat yang diberikan kontrak untuk membina kapal OPV tersebut.

Menurut beliau, tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som baru-baru ini menjelaskan, pandemik Covid-19 punca kelewatan penyerahan tiga OPV yang sepatutnya diterima pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menegaskan PAC bebas untuk menyiasat projek pembinaan kapal terbabit.

Kontrak pembinaan tiga OPV untuk APMM dianugerahkan kepada THHE Destini pada 2017, namun syarikat induknya, TH Heavy Engineering Bhd yang diklasifikasikan sebagai PN17 dilaporkan kini menanggung kerugian terkumpul RM629.8 juta dan hutang bernilai RM165 juta.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan THHE Destini untuk menyiapkan OPV terbabit mengikut kontrak. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI