Saudara pengarang,
KISAH berlaku ketika majlis perkahwinan anak sulung kami yang diadakan pada hujung minggu lalu di Tanah Merah, Kelantan.
Ketika persiapan diadakan dua hari awal, air paip boleh dikatakan sedikit jernih jika hendak dibandingkan dengan hari-hari sebelumnya.
Namun, amat menyedihkan apabila tiba pada pagi hari majlis yang dirancang, air paip di rumah bertukar keruh seperti ‘air kopi’, langsung tidak boleh buat apa-apa.
Kami sekeluarga terpaksa bergegas mendapatkan air minuman dan mineral bagi memastikan majlis perkahwinan berjalan dengan lancar.
Apa yang saya ingin kongsikan adalah masalah air keruh yang melanda Kelantan sudah berpuluh-puluh tahun lamanya tanpa ada satu penyelesaiannya.
Masalah lain pula timbul apabila air kotor yang tidak boleh digunakan itu turut dikenakan caj di dalam bil tanpa rasa bersalah oleh syarikat Air Kelantan.
Sepatutnya mengikut perkiraan misalnya bagi penduduk yang terjejas mereka berhak menerima diskaun ataupun tidak perlu membayar bil sepanjang beberapa hari tempoh terjejas itu.
Saya berharap agar masalah ini segera diatasi oleh pihak kerajaan negeri. Bukan sahaja kotor dan keruh, malah langsung tidak boleh digunakan walaupun untuk mandi dan cuci pakaian.
Bayangkanlah berapa pula kos yang perlu dikeluarkan oleh penduduk untuk membeli air mineral atau menggali perigi sekiranya masalah ini tidak diatasi.
Abang Kursial
Tanah Merah, Kelantan














