KLANG – “Kami baru mendirikan rumah tangga dua minggu lalu. Disebabkan kecuaian orang lain, semua hilang sekelip mata umpama mimpi.”
Demikian luahan hati Nur Izwana Othman, 46, isteri kepada seorang penghantar makanan, Muhaimin Mohad Sain@Mohd. Said, 34, yang maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan tular di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang melibatkan lima kenderaan itu turut mengakibatkan seorang penunggang motosikal lain cedera parah.
Menurut Nur Izwana, mereka sebelum ini telah merancang untuk bercuti bersama bagi meraikan perkahwinan yang baharu dibina, namun belum sempat kerana duit belum cukup.
Berita berkaitan: Penghantar barang maut, seorang parah kemalangan lima kenderaan
“Saya cuma sempat bergelar isteri dua minggu saja. Sebelum ni kami ada rancang nak pergi bercuti tapi tunggu kumpul cukup duit.
“Arwah anak dan suami yang sangat baik. Dia rajin buat kerja rumah, jaga mak dan rapat dengan adik-beradik. Sedih sekarang buka je mata daripada tidur dia dah tak ada. Memang tak ada…,” jelasnya.
Nur Izwana berkata, menjadi rutin setiap hari sejak bernikah dua minggu lalu, dia akan menunggu arwah pulang untuk makan bersama-sama.
Berita berkaitan: Dua pemandu SUV rempuh ‘rider’ negatif dadah
“Semalam kakak ipar saya telefon beritahu arwah kemalangan. Saya ingatkan kemalangan biasa tapi sangat terkejut bila abang ipar yang ada di tempat kejadian maklumkan arwah dah tiada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, dua pemandu SUV yang terlibat kemalangan sehingga mengorbankan seorang penghantar barang di Jalan Haji Sirat didapati negatif dadah.
Wanita dan lelaki berusia 24 serta 20 tahun yang memandu Nissan X-trail itu dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kertas siasatan akan dirujuk Timbalan Pendakwa Raya,” ujarnya.















