fbpx

NASA lancar DART ubah laluan Dimorphos menuju ke Bumi Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilustrasi kapal angkasa DART. - NASA

WASHINGTON – Pasukan saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memberi amaran sebutir asteroid dengan lebar 170 meter dinamakan Dimorphos berada di laluan dan mungkin merempuh Bumi pada 26 September ini, pukul 11.14 malam (waktu tempatan), lapor laman berita Wion News semalam.

Bagaimanapun, penduduk Bumi tidak perlu bimbang, kata NASA. Ini kerana agensi berkenaan  sudah merangka langkah pencegahan bagi mengubah laluan asteroid tersebut dengan menggunakan robot kapal angkasa DART yang berharga AS$330 juta (RM1.5 bilion).

Kapal angkasa yang beratnya kira-kira setengah tan itu akan bergerak pada kelajuan  lebih 6.4 kilometer (km) sesaat untuk bertembung dengan Dimorphos yang akan berada kira-kira 10.9 juta km dari Bumi pada masa impak.

DART yang direka bentuk untuk beroperasi sepenuhnya secara autonomi,  akan menjadi jentera tanpa pemandu untuk misi itu.

Meskipun saintis-saintis  melabelkan asteroid itu sebagai bukan ancaman, objektif utama melancarkan misi kali ini  adalah untuk menguji keupayaan DART menghalang sebarang kemungkinan termasuk sekiranya berdepan dengan ‘asteroid hari kiamat’.

Mereka berkata, pemerhatian impak pertembungan kapal angkasa DART dan  Dimorphos akan memberikan data penting tentang seberapa baik kapal angkasa itu dapat melindungi Bumi daripada hentaman asteroid.

Menurut Pengarah Pejabat Koordinasi Pertahanan Planet NASA, Lindley Johnson, misi DART tidak mencerminkan perubahan dalam dasar pemikiran agensi ini mengenai objek berbahaya angkasa lepas, sebaliknya menjadi kesinambungan kerja yang dilaksanakan setakat ini.

“Piagam kami dari awal lagi adalah bukan sahaja untuk mencari asteroid tetapi untuk mengusahakan teknologi dan teknik yang boleh digunakan untuk memesongkan asteroid daripada trajektori hentaman, sekiranya kami menemuinya.

“DART hanyalah ujian pertama dalam apa yang kita lihat sebagai program yang berterusan,”jelas Johnson. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI